ARTIKEL

Harimau Malaya bangkit garang tundukkan Laos

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Kebangsaan, Peter Cklamovski memuji semangat berpasukan anak buahnya selepas menundukkan Laos 5-1 dalam aksi keempat Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.

Beliau berkata, walaupun pasukannya terlebih dahulu melepaskan gol kepada Laos pada babak pertama, para pemain bangkit mempamerkan kepelbagaian penyudahan yang sempurna.

“Ia satu cabaran yang baik. Saya memberikan pujian kepada para pemain kerana terus fokus dan percaya dengan corak permainan kita.

“Separuh masa pertama sedikit tumpul, manakala pemain Laos pula terus berusaha,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu, jurulatih Laos, Ha Hyeokjun mengakui kualiti dimiliki skuad Harimau Malaya selain menyifatkan pasukan lawan lebih baik dari pelbagai sudut.

“Kami bermain mengikut perancangan pada separuh masa pertama, tetapi hilang fokus pada babak kedua sehingga akhirnya tewas 5-1.

“Saya percaya para pemain telah menunjukkan peningkatan sepanjang perlawanan. Namun, berbanding Malaysia, mereka memiliki liga yang lebih berkualiti,” katanya.

Dalam aksi di hadapan lebih 18,000 penonton malam ini, Malaysia menampilkan kebangkitan bergaya pada separuh masa kedua untuk mencatat kemenangan 5-1 ke atas Laos dalam perlawanan keempat Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kemenangan ke atas Laos menyaksikan pasukan negara mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan dan terus mendahului saingan kumpulan dengan mengumpul 12 mata, diikuti Vietnam di tempat kedua (sembilan mata), Laos di tempat ketiga (tiga mata) dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.

Selepas ini, Malaysia dijadual bertemu Nepal dan menamatkan saingan kumpulan menentang Vietnam di Hanoi pada Mac tahun depan. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU