KUALA LUMPUR: Enam pemain Selangor FC menarik diri daripada skuad Harimau Malaya akibat kecederaan, sekali gus terlepas dua Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yemen.
Kedua-dua perlawanan itu dijadualkan berlangsung pada 14 dan 17 Nov ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima surat rasmi Selangor FC hari ini yang menyatakan kecederaan itu dialami selepas separuh akhir kedua Piala FA menentang Kuching City FC malam tadi.
Pemain terbabit ialah Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, A. Selvan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Syahir Bashah dan Harith Haiqal Adam Afkar.
Susulan itu, Ketua Jurulatih Interim Tan Cheng Hoe memanggil Suhaimi Husin, Safwan Mazlan, Dominic Tan, Ariff Farhan Md Isa dan Syafiq Ahmad daripada Senarai Bersedia untuk mengisi kekosongan tersebut seperti dilapor Bernama.






