SARIKEI: Acara berprestij, Jamboree Berbasikal Bukit (MTB) Sebangkoi 2026 berlangsung meriah hujung minggu lepas.
Enam kategori dipertandingkan dengan jarak perlumbaan 30 kilometer dan menyaksikan penguasaan pelumba handalan.
Kategori Lelaki Terbuka (18 Tahun & Ke atas) antara yang mencuri tumpuan apabila menyaksikan kehebatan pelumba Tugau Vaie Cycling Team, Muhammad Haziq Danish Norizam, yang muncul juara.
Tempat kedua milik seorang lagi pelumba kelab berkenaan, Akmal Thafiq Begurdy, manakala Laurel Lauridsen Adrian menduduki tempat ketiga.
Kategori Wanita (13 Tahun & Ke atas) pula tidak kurang hebatnya apabila turut menyaksikan penguasaan dua pelumba handalan Tugau Vaie Cycling Team, Siti Farah Eliza Zainuddin dan Nurfara Nabiela Abdullah Hafiz, yang masing-masing mengungguli tempat pertama dan kedua.
Tempat ketiga milik pelumba SSC Saratok, Naina Adriana Idris.
Sementara itu, kategori Veteran (40-49 Tahun) juga mencuri tumpuan.
Prestasi hebat dipamerkan dua pelumba berpengalaman Yolo Tutong Cycling Team, iaitu Lee Yong Hui dan Muhammad Nurjamri Johari, yang begitu sukar ditandingi apabila mudah mengungguli tempat pertama dan kedua.
Tempat ketiga pula milik pelumba dari TAP Racing Team, Lim Sie Sheng.
Bagi kategori Master (50-59 Tahun), tempat pertama diraih Yong Chee Peng dari Giant Racing Team.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Rosman Bujang (Serian Cycling Team) dan Ahmad Joyo Mohd. Sahari (SSC Saratok).
Bagi kategori Super Master (60 Tahun & Ke atas), tempat pertama milik Vun Chi Chiat (Team Semaba), manakala Ling Koh Chiong serta Jong Nam Fui dari TAP Racing Team masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Bagi kategori Remaja (13-17 Tahun), tempat pertama milik Muhammad Harraz Rudean Mohammad Anasrudean (Hornbill Cycling Syndicate Team).
Manakala tempat kedua dan ketiga milik Muhammad Zafran Rudean Mohammad Anasrudean dan Muhammaf Khairul Iqbal Abdullah dari Hornbil Cycling Syandicate Team, Kelab Berbasikal Saribas.
Acara julung kali diperkenalkan itu dianjurkan Kelab Sukan Rekreasi Laser Light (KSRLL) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sarikei dan Perbadanan Hutan Sarawak (SFC).
Acara itu turut mendapat sokongan Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak dan PERBASA.
Seramai 77 pelumba mewakili pelbagai kelab dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung, selain daripada empat buah negara, iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Afrika Selatan dan Kanada, terlibat dalam perlumbaan itu yang menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan RM11,650.






