KUCHING: Perlindungan hak harta intelek dalam Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Kraf Sarawak (SCC) 2023 dapat memberikan perlindungan kepada hak cipta hasil kraf di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia akan melindungi hak harta intelek produk kraf Sarawak seperti reka bentuk dan motif tradisional.
“Ia penting untuk mengelakkan penyalinan tanpa kebenaran dan memastikan pengiktirafan dan pampasan yang adil kepada usahawan kraf,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Bacaan Kedua Rang UndangUndang (RUU) Majlis Kraf Sarawak (SCC), 2023 dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 di sini, semalam.
Mengulas lanjut kata Abdul Karim, SCC bertujuan mewujudkan mekanisme untuk melindungi hak harta intelek produk kraf Sarawak selain menyediakan sokongan undangundang kepada usahawan dalam kes pelanggaran hak cipta.
“Harta intelek sangat penting kerana kita tidak mahu produk yang dihasilkan misalnya dari rumah panjang tiba-tiba mereka dari negara luar juga melakukannya,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mendedahkan bahawa jualan industri kraf tangan di Sarawak mencecah RM22 juta tahun lepas dan dijangka mampu memperoleh unjuran ekonomi lebih tinggi pada masa akan datang.
Malah kata Abdul Karim, beliau turut bersetuju terdapat cadangan untuk membina pusat kraf tangan di setiap bahagian untuk mempromosi seluruh Sarawak kepada dunia luar.
“Pada temasya SUKMA juga kita berhasrat untuk menganjurkan ke seluruh Sarawak.
Kerana kita mahu melihat setiap bahagian mendapat manfaat termasuk dalam pelancongan.
“Bagi pelancongan pula, walaupun kita menyasarkan tiga juta pengunjung ke Sarawak sehingga penghujung tahun ini, namun saya yakin Sarawak mampu mencapai lebih dari sasaran.
“Kita yakin kita dalat mencapai lebih daripada empat juta pengunjung pada Disember ini dan bermakna tambahan satu juta lagi daripada sasaran,” ujarnya.






