Ada orang mengumpul cenderamata setiap kali melancong. Ada pula yang gemar membawa pulang magnet peti sejuk, poskad atau rantai kunci sebagai tanda pernah menjejakkan kaki di sesuatu tempat.
Saya pula memilih sesuatu yang tidak dapat dilihat, tetapi mampu menghidupkan semula kenangan dalam sekelip mata, iaitu dengan mengumpul minyak wangi.
Bagi sesetengah orang, minyak wangi hanyalah pelengkap penampilan. Namun, bagi saya, setiap botol yang dibawa pulang ialah kapsul masa.
Sebab itulah, setiap kali melancong ke luar negara, mencari minyak wangi tempatan sentiasa menjadi antara perkara pertama dalam senarai perjalanan saya.
Begitulah juga ketika saya berpeluang mengunjungi Jakarta. Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki di ibu negara Indonesia itu.
Sebagai seorang penggemar mengumpul minyak wangi, inilah peluang paling saya nantikan untuk meneroka sendiri pelbagai jenama minyak wangi tempatan Indonesia yang selama ini hanya saya lihat berseliwiran di media sosial.
Boleh dikatakan, sebelum berangkat lagi, saya sudah mempunyai senarai jenama yang wajib dicari.
Antara yang paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia ialah Alchemist Fragrance, HMNS, Saff & Co. serta Mykonos, yang masing-masing semakin mendapat tempat dalam industri wangian Asia Tenggara.
Pencarian itu akhirnya membawa saya ke TOMORROW (Tomorrow World) di Lippo Mall Nusantara atau lebih dikenali sebagai Plaza Semanggi.
Tempat ini sering digelar sebagai perpustakaan wangian pertama di Asia kerana menghimpunkan puluhan jenama minyak wangi tempatan Indonesia di bawah satu bumbung.
Sejujurnya, saya berasa seperti kanak-kanak yang dilepaskan di kedai permainan.
Dari satu rak ke satu rak, saya menyembur, menghidu dan membandingkan setiap haruman tanpa sedar masa berlalu begitu pantas.
Mata pula semakin rambang apabila melihat minyak wangi tempatan dijual pada harga serendah sekitar RM20 sebotol, jauh lebih murah berbanding kebanyakan jenama antarabangsa, namun tetap menawarkan kualiti yang mengagumkan.
Ketika itu, saya memahami mengapa ramai pelancong dari Malaysia sanggup memperuntukkan ruang tambahan dalam bagasi mereka semata-mata membawa pulang minyak wangi dari Jakarta.
Namun, perkara yang lebih menarik perhatian saya bukan sekadar harganya, sebaliknya setiap jenama tempatan di Indonesia mempunyai identiti tersendiri.
Ada yang diinspirasikan oleh aroma kopi Nusantara, bunga melati, nilam, cengkih dan kayu-kayan tropika yang begitu sinonim dengan sejarah perdagangan rempah di rantau ini.
Setiap botol bukan sekadar menjual haruman, malah turut membawa cerita.
Ada haruman yang lembut dan menenangkan, seolah-olah pagi yang damai selepas hujan.
Ada pula yang berani, hangat dan misteri, sesuai menggambarkan kesibukan kota Jakarta yang tidak pernah benar-benar tidur.
Semakin banyak saya mencuba, semakin saya menyedari bahawa memilih minyak wangi sebenarnya hampir sama seperti memilih kenangan.
Sesetengah haruman mungkin tidak menarik perhatian pada semburan pertama, tetapi perlahan-lahan berkembang menjadi lebih indah apabila dibiarkan melekat pada kulit.
Sama seperti sesebuah perjalanan yang hanya benar-benar dihargai selepas kita pulang.
Sepanjang berada di Jakarta, saya juga mula menyedari kota ini mempunyai identitinya yang tersendiri melalui aroma.
Di pasar tradisional, udara dipenuhi bau rempah-ratus yang segar.
Di kaki lima, aroma sate yang sedang dibakar bercampur dengan bau hujan yang membasahi jalan.
Di hotel dan pusat beli-belah, haruman teh putih, bunga-bungaan serta kayu-kayan memenuhi ruang sehingga membuatkan saya berhenti seketika semata-mata untuk menghayati suasana.
Mungkin bunyi dan gambar boleh dirakam menggunakan telefon pintar. Namun, bau hanya boleh disimpan dalam ingatan.
Saya turut berbual dengan beberapa jurujual minyak wangi sepanjang berada di sana.
Menarikya, mereka tidak terus bertanya sama ada saya menggemari haruman bunga atau kayu.
Sebaliknya, mereka bertanya tentang personaliti, gaya hidup dan suasana yang saya inginkan apabila memakai sesuatu wangian.
Ketika itulah saya memahami bahawa minyak wangi bukan sekadar produk, malah satu bentuk ekspresi diri.
Seorang jurujual sempat berkata kepada saya, “Orang mungkin lupa pakaian yang kita pakai, tetapi mereka akan ingat aroma diri kita.”
Benar, deria bau mempunyai keupayaan luar biasa untuk menghidupkan semula kenangan.
Kadangkala, hanya satu semburan sudah cukup untuk membawa kita kembali ke tempat yang pernah kita lawati bertahun-tahun dahulu.
Sebelum meninggalkan Jakarta, saya membawa pulang beberapa botol minyak wangi tempatan.
Bukan kerana harganya lebih murah atau botolnya lebih cantik, tetapi kerana setiap satunya membawa sebahagian daripada perjalanan saya di kota itu.
Kini, setiap kali saya menyembur salah satu daripadanya, saya seolah-olah kembali berada di Jakarta.
Saya kembali melihat kesibukan jalan rayanya. Saya kembali menghidu aroma kopi yang memenuhi ruang kafe. Saya kembali mengingati keterujaan memilih satu demi satu haruman di TOMORROW.
Jika diberi kesempatan untuk kembali ke Jakarta, saya pasti akan mencari lebih banyak jenama minyak wangi tempatan di sana.
Bukan semata-mata untuk menambah koleksi di rak rumah, tetapi kerana saya percaya bahawa setiap haruman mempunyai kisah yang belum sempat saya temui serta kenangan baharu yang menunggu untuk dibawa pulang.
Lalu, saya kembali sedar bahawa kenangan terbaik daripada sebuah perjalanan bukan semestinya terletak pada gambar yang dimuat naik di media sosial.
Kadangkala, hanya satu haruman sudah cukup untuk membawa kita pulang kepada sebuah kota.
Mungkin itulah keajaiban minyak wangi. Ia tidak mampu menghentikan masa.
Namun, ia sentiasa tahu cara membawa kita kembali kepada setiap kenangan yang pernah kita tinggalkan.



