ARTIKEL

Harus bijak manfaatkan teknologi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PENGGUNAAN teknologi tidak mempunyai had, malah semua perkara boleh dicari dengan hanya menggunakan hujung jari untuk mendapatkan apa-apa yang diinginkan.

Ditambah dengan wujudnya pelbagai aplikasi yang boleh dimuat turun dalam telefon pintar yang kini dimiliki setiap lapisan masyarakat tanpa mengira umur tua dan muda. Lebih menakutkan apabila golongan muda khususnya mereka di bawah umur 18 tahun diberi kebebasan untuk mengendalikan telefon masing-masing tanpa sebarang pemantauan daripada penjaga.

Seharusnya, para penjaga perlu membuat pemeriksaan kandungan yang ada dalam telefon anak-anak kerana kita tidak mahu mereka meneroka dunia maya dengan cara yang salah.

Disebabkan kebebasan yang melampau, anak-anak memandang mudah terhadap kepercayaan yang diberi dengan mengambil kesempatan untuk membuat perkara yang tidak senonoh.

Tidak mustahil golongan muda ini sudah meneroka jauh alam maya disebabkan sifat ingin tahu, pengaruh rakan, rancangan televisyen dan sebagainya.

Jika tidak dikawal dan dibendung dari awal, apa yang bakal terjadi kepada generasi akan datang kerana mereka yang akan memimpin kelak.

Berdasarkan laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), 1,631 daripada 2,825 (58 peratus) aduan diterima serta disiasat berkait rapat dengan salah guna khidmat komunikasi dan media sosial.

Angka tersebut adalah dari tempoh 2009 hingga Februari tahun ini, terdiri daripada kesalahan menyebar kandungan berunsur lucah. Penyebaran kandungan tidak senonoh merekodkan sebanyak 546 kes, diikuti kandungan palsu (574).

Tujuh daripadanya merupakan kandungan sumbang, manakala selebihnya (74 aduan) melibatkan kandungan mengancam dan kandungan sumbang.

Sebanyak 108 kes masih dalam siasatan, 115 kes telah didakwa di mahkamah, 40 kes dikenakan kompaun dengan nilai keseluruhan RM138,250 dan 84 kes telah dikeluarkan notis amaran. Dalam pada itu, kesemua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588). Melihat kepada pendedahan angka tersebut, dapat dikatakan bahawa wujudnya salah guna dari segi penggunaan kemudahan yang ada pada dunia serba moden ini.

Tidak kira melibatkan lapisan masyarakat tua atau muda, ia tetap boleh menjejaskan struktur serta cara pemikiran generasi yang akan menerajui negara kelak.

Pengaruh negatif ini perlu dibendung sebaik-baiknya agar generasi yang lebih baik dapat dilahirkan demi kepentingan masa depan bersama-sama.

Jika perkara ini dipandang sebelah mata sahaja, nescaya bakal membahayakan masyarakat, khususnya negara yang aman dan damai ini. Isu penyebaran kandungan lucah menerusi platform alam maya sering kali didengari, namun sukar untuk menangani apatah lagi untuk mengambil tindakan terhadap individu yang tidak bertanggungjawab.

Daripada jumlah yang diberitahu, sebanyak 2,478 kes dikenakan status Tiada Tindakan Lanjut (NFA) dan/atau Tiada Kesalahan Dizahirkan (NOD). Hal ini berlaku kerana tiada bukti kukuh untuk mengaitkan suspek dengan kesalahan disiasat di bawah seksyen berkenaan. Justeru, usaha bersama-sama setiap pihak untuk berganding bahu mendepani cabaran ini perlu dilakukan supaya masyarakat terhindar daripada kegiatan yang boleh merosakkan minda ini.

BERITA LAIN

Ancaman halus dunia hiburan

HAMPIR semua orang mengakui kesan negatif terhadap akhlak dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat akibat filem dan siri yang banyak memaparkan adegan ganas, seks, ekstremisme

BERITA TERBARU