JIKA sebelum ini dengan RM50 kita boleh memenuhi bakul di pusat beli-belah dengan pelbagai barangan keperluan dapur Bagaimanapun kini, nilai tersebut kini hanya untuk membeli sebotol cecair membasuh pakaian dan beras 10 kilogram (kg) sahaja.
Itupun dibeli dengan harga yang murah. Setiap hari kita dapat melihat di media sosial dan akhbar, masyarakat merungut mengenai kenaikan harga barang terutamanya pada musim perayaan akibat daripada permintaan tinggi terhadap barangan mentah dan basah.
Hal ini menyebabkan pengguna perlu berfikir panjang sebelum membuat pembelian malah, harga makanan semakin tinggi terus menjadi faktor peningkatan bebanan kos sara hidup buat isi rumah di negara ini.
Pada masa ini, harga barangan telah meningkat dengan purata antara tingga hingga empat kali setahun tetapi gaji rakyat hanya naik satu kali dalam setahun.
Salah satu langkah yang paling berkesan bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang adalah dengan penguatkuasaan undangundang.
Pihak kerajaan perlu melakukan pemantauan lebih kerap atau menyediakan medium yang mudah untuk masyarakat melaporkan sebarang kenaikan harga yang berlaku.
Bagaimanapun masalah kenaikan harga barang mampu diatasi dengan baik sekiranya semua pihak turut memberi perhatian, kerjasama dan lebih cakna terhadap isu ini. Jangan hanya berharap kepada pihak kerajaan semata-mata kerana sebagai rakyat kita juga perlu memainkan peranan.
Pakar Kewangan Pengguna, Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, kenaikan harga barang atau kos sara hidup adalah sesuatu yang boleh kita jangkakan apabila sektor ekonomi kembali dibuka malahan isu tersebut sebenarnya kerap berbangkit saban tahun.
Ia berbalik kepada konsep bekalan dan permintaan di mana kita dapat lihat dari segi permintaan semakin meningkat, namun bekalan kurang selain banyak bergantung pada barangan import juga faktor ekonomi semasa dunia dan pandemik yang mengakibatkan isu ini berlaku.
“Tidak dinafikan ada dalam kalangan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga dengan pelbagai alasan, namun tidak boleh juga pandang ringan kos operasi dan perbelanjaan mereka yang mengakibatkan harga jualan terpaksa dinaikkan,” katanya.
Sebagai pengguna yang bijak, tidak harus panik kerana kea-daan itu akan seterusnya membawa kepada pembelian panik yang pastinya akan memburukkan lagi keadaan. Lihat sahaja semasa PKP dahulu apabila berlaku pembelian panik, pelbagai barangan habis di pasar raya sehingga menyukarkan kehidupan pengguna itu sendiri. Bila permintaan semakin meningkat, di situlah orang akan ambil kesempatan untuk menaikkan harga.
Justeru kata Dr Mohamad Fazli, pengguna dinasihatkan agar tidak perlu panik, kawal perbelanjaan kita dengan membuat perbandingan harga dan sebagainya, sediakan bajet atau senarai perbelanjaan termasuk rancang perjalanan sebelum keluar rumah.
“Sebagai pengguna kita mempunyai kuasa untuk mengharungi isu kenaikan harga barang kerana kita mempunyai hak untuk membeli atau tidak, malah kita juga ada persatuan yang membela hak selain pelbagai saluran untuk adukan sebarang ketidaktelusan,” katanya.



