Hati-hati beli emas dalam talian

KUALA LUMPUR: Menjadi lumrah kaum wanita meminati barang perhiasan emas kerana kerlipannya boleh menaikkan seri serta nilai kewanitaan si pemakai. Malahan, kini ia menjadi aset untuk pelaburan.

Trend pembelian emas dilihat kini semakin meningkat terutama secara dalam talian, khususnya ketika negara berada dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

Tidak dinafikan, penulis sendiri tertarik melihat penjualan emas secara dalam talian kerana proses pembelian lebih cepat dan mudah tanpa perlu beratur panjang.

Namun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini melaporkan peningkatan mendadak kes penipuan jualan barang kemas secara dalam talian, yang mana 37 kes dengan kerugian RM239,530 direkodkan hanya bagi tiga bulan pertama tahun ini.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob, sebanyak 21 kes dengan kerugian RM148,444 dilaporkan sepanjang 2019 dan jumlah kes itu meningkat pada 2020 dengan 44 kes membabitkan kerugian RM261,954.

Berikutan itu, Presiden Persekutuan Tukang Emas dan Perhiasan Malaysia Datuk Steven Siow Dek Kuen mengingatkan orang ramai yang ingin membeli emas agar hanya berurusan dengan kedai emas yang wujud secara fizikal atau telah beroperasi lama dan dikenali.

Senada dengan Steven, penjual emas Ayden Gold di Pasar Datuk Keramat, Wan Nurliana Aida Wan Mhd Kamal berkata, walaupun kini kedai emasnya mula fokus kepada penjualan secara dalam talian, beberapa langkah keselamatan perlu diambil oleh penjual dan pembeli bagi mengelakkan penipuan.

“Yang pertama kita kena tahu kedai emas itu wujud secara fizikal atau tidak. Bila kita berurusan dengan ejen, dia tiada kedai emas. Kalau begitu kita kena rujuk ibu pejabatnya untuk pastikan dia ejen sah,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Wan Nurliana Aida berkata kaedah promosi emas, sama ada di kedai mahupun secara dalam talian juga boleh dijadikan panduan pembelian.

“Apabila ada stok baru, kita akan muat naik di laman media sosial seperti di Telegram dan Facebook untuk promosi. Kalau mereka ada buat live marketing (pemasaran) banyak di media sosial, itu kira boleh percaya juga. Kalau yang agak perlahan pemasarannya secara dalam talian, kita kena berhati-hati sikit,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua penjual dan pembeli perlu memainkan peranan bagi mengelakkan ditipu kerana penjenayah boleh mengambil kesempatan dalam pelbagai keadaan.

“Semasa saya buat live kadang-kadang pelanggan saya yang dah lock (beli), mereka tinggalkan nombor telefon dalam paparan live itu. Penjenayah (scammers) akan terus WhatsApp mereka dan mengaku sebagai saya – Nana dari Ayden gold,” katanya lagi.

Tidak menafikan penjualan secara dalam talian ini dapat membantu jualan secara fizikal di kedai, Wan Nurliana tetap sentiasa berhati-hati dengan keadaan sekeliling terutama semasa membuat penjualan secara dalam talian.

Beliau juga mengakui pernah menerima slip pembayaran bank palsu daripada pembeli.

“Zaman pandemik Covid-19 ini ramai yang tiada kerja. Jadi orang cari cara yang mudah dan singkat dengan penipuan,” tambahnya.

Bagi pembeli Anisa Shamsaimon, walaupun trend pembelian emas semakin rancak di media sosial namun beliau lebih memilih untuk membeli di kedai.

“Saya pernah beli secara online tapi rasa tak puas. Jadi saya pilih untuk ‘walk-in’ (masuk kedai). Kita boleh pegang dan cuba (produk). Itu lagi puas hati,” katanya.

Berbeza pula dengan Ahmad Imran Rose Din, seorang pembeli yang lebih gemar membeli emas secara dalam talian di rumah kerana antara lain dapat mengelak kesesakan di jalan raya.

“Kalau nak tengok selamat atau tidak (pembelian), kita boleh google jika dia ada kedai fizikal. Biasanya di google juga terdapat ‘review’ atau ulasan yang boleh dibaca mengenai kedai itu,” katanya.

Jadi sentiasalah beringat dan berhati-hati semasa membeli emas sama ada di kedai atau secara dalam talian. Bak kata pepatah ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. – Bernama

Suara Sarawak