ARTIKEL

Gambar hiasan Pixabay

Hati yang tenang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEMALAM saya menyunting artikel kisah Mohamad Syafiq Mohamad Ali Hanaffiah, pemuda yang melecur tahap tiga apabila seluruh badannya hampir 75 peratus terkena api ketika cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak dalam kebakaran pada 28 Ogos lalu di Batu Kawa.

Hati saya tersentuh apabila ibunya memberitahu, andai ketika itu dia bersama-sama anaknya yang mahu masuk dalam api marak — dia tidak melarang. Itu niat baik anaknya.

Saya seorang manusia yang percaya kepada rezeki dan ketentuan Allah, katanya yang reda dengan apa-apa yang dialami anaknya kini.

Akibat melecur teruk, kini Mohamad Syafiq terlantar di atas katil.

Hero yang tidak didendang ini juga mengakui, andai masa dapat diputarkan kembali, dia tetap meredah api marak. Ibunya berkata, dia takkan melarang anaknya berbuat kebaikan kerana sejak kecil, dia mendidik anak-anaknya seperti itu.

Bagi saya, dia seorang ibu yang cukup tabah

Saya sendiri takkan kuat jika apa yang menimpa Syafiq berlaku kepada anak saya.

Namun sebagai manusia biasa, itulah reda, itulah takdir dan asbab untuk anaknya diangkat darjat menjadi manusia yang baik hati.

Mungkin ada yang berpendapat, untuk apa menggadaikan nyawa untuk orang lain.

Atau, untuk apa berbuat kebaikan demi orang lain.

Kisah pemuda berusia 33 tahun ini cukup menarik untuk dijadikan teladan.

Kita tidak perlu kenal baik seseorang untuk berbuat baik kepadanya.

Tidak perlu memilih dengan siapa kita berbuat kebaikan kerana kita akan memperoleh kebaikan itu semula, percayalah.

Setiap satu kebaikan yang dilakukan walaupun sekecil-kecil perkara.

Berbuat baik itu mudah.

Dalam mana-mana agama pun, Tuhan mencintai orang yang berbuat baik.

Perkara baik yang mudah untuk diamalkan seperti bersedekah, memudahkan kerja orang lain, membuat orang sekeliling berasa senang dan menyebarkan senyuman. Walaupun hanya dengan sebaris senyuman.

Perkara yang kecil bagi kita, boleh menjadi besar dan bermakna buat mereka yang memerlukan.

Sebarkanlah kebaikan, jadilah seorang yang baik, dan sentiasa ingin menjadi seorang yang lebih baik dari hari ke hari.

Istiqamah dan tetapkan hati dalam setiap apa-apa yang dilakukan. Mungkin ada yang pernah mendengar kisah pengemis bernama Billy Ray Harris di luar negara. Kisah Billy selalu dikutip untuk kisah teladan dunia.

Ceritanya ringkas tetapi pengajarannya panjang.

Ramai orang memandang rendah kepadanya kerana dia seorang pengemis dan tidak mempunyai tempat tinggal. Setiap hari, Billy mengemis di tepi jalan.

Satu hari, dia menemui cincin yang sangat mewah di dalam gelas tempat dia mengumpul wang, lelaki ini tidak mengambil cincin itu.

Billy mengaku panik apabila menemui sebentuk cincin milik seseorang yang mungkin terjatuh ke dalam gelas tempatnya mengumpul sedekah.

Dia mahu memulangkan cincin itu tetapi tidak tahu siapa pemiliknya.

Billy merasakan cincin itu mestilah sesuatu yang istimewa, melebihi harganya.

Lelaki ini menunggu setiap hari di jalan yang sama, menunggu pemilik cincin itu.

Beberapa hari kemudian, seorang wanita bernama Sarah bertanya sama ada Billy melihat cincinnya yang telah jatuh.

Ternyata cincin itu milik Sarah yang jatuh ketika dia memberikan syiling kepada Billy.

Sarah sangat terharu dengan kejujuran Billy kerana Billy boleh menjual cincin itu untuk perbelanjaan hidupnya, tetapi dia tidak melakukannya.

Akhirnya, Sarah dan suaminya berkongsi kisah Billy ke seluruh dunia dan mengumpul dana untuk mendapatkan rumah dan kelangsungan hidup Billy.

Siapa sangka wang yang terkumpul mencecah ratusan ribu dolar.

Billy sendiri tidak tahu dari mana kesemua penderma itu muncul. Ini adalah bukti bahawa setiap manusia benar-benar dilengkapi dengan hati yang mulia akan mendapat pembalasan mulia

. Justeru, kebaikan bukan hanya milik orang kaya yang boleh memberikan wangnya kepada orang miskin.

Bukan hanya milik ketua kepada pekerjanya, tidak juga orang tua kepada anaknya.

Baik hati milik semua orang.

Daripada perbuatan baik yang kecil, kita boleh hidup untuk rasa damai yang lebih besar.

Sila baca kisah-kisah benar ini supaya kita terdorong untuk sentiasa bermurah hati dan sedia membantu orang lain.

Justeru, untuk mengekalkan kebaikan kita, ia harus bermula dari hati yang baik.

Hati boleh jadi tempat yang diselubungi penyakit sekiranya tidak dijaga dengan baik.

Ada orang yang tidak boleh melihat orang lain bahagia melebihi kebahagiaan yang dinikmatinya. Ada, walaupun bukan di sekeliling kita mungkin di tempat orang lain.

Walaupun keadaan orang lain sedikit pun tidak memberi kesan terhadap perjalanan hidupnya, namun tidak senang melihat kebahagiaan orang lain. Inilah antara hati yang sedang dilanda penyakit. Semua orang menyedari keperluan melakukan perkara baik mendatangkan pahala.

Walaupun perkara itu mungkin bagi sesetengah orang kelihatan kecil, namun ia perlu dilakukan bagi meraih ganjaran pahala.

Persoalannya, adakah semua orang sudi untuk melakukan perkara berpahala itu?

Sekali lagi, ia sebenarnya berbalik kepada hati masing-masing.

Hati yang sentiasa baik sentiasa mengarahkan diri agar melakukan kebaikan.

Hati yang baik juga sentiasa memaafkan dan bersangka baik sesama manusia, tidak menyakiti hati orang lain.

Berusaha untuk tidak menyakiti hati orang lain, percayalah itu akan menenangkan kita.

Untuk tenang, kita kena jaga lidah daripada mudah menyakiti orang lain.

Jagalah hati orang lain selama mana yang boleh.

Malah dalam Islam sendiri, hukum menyakiti hati orang lain adalah dosa.

Malah digalakkan mendukung dan memberikan bantuan satu sama lain. Kita hidup di dunia banyak likulikunya, terutama lika-liku dalam berinteraksi dengan sesama orang.

Setiap orang pasti berbeza tingkah laku, namun ia tidak membolehkan kita untuk menyakiti hati orang lain. Untuk mendapat hati yang damai, hati harus jadi baik.

Kedamaian, ketenangan hati hanya dapat kita peroleh dari dalam diri kita sendiri.

Untuk memiliki hidup yang tenang, bahagia kita harus selalu berusaha keras untuk berjiwa besar dan tidak menyakiti hati orang lain. 

BERITA LAIN

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

BERITA TERBARU

A. Aida reda filem tiada sambutan

PENERBIT terkenal, Datuk A. Aida menerima dengan hati terbuka hakikat bahawa filem terbitannya, Bisikan Nafsu, tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan selepas mula ditayangkan di

A310 VISION tampil futuristik

ALPINE memperkenalkan A310 Vision, sebuah kereta konsep eksklusif sempena ulang tahun ke-55 pengenalan model kereta sukan A310 pada 1971. Kereta konsep yang dihasilkan dalam satu