Bersempena Nuzul alQuran yang sering disambut sepanjang Ramadan, maka sepatutnya kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW bersama-sama memperingati hari tersebut sebagai salah satu hari kebesaran bagi kita.
Hal ini demikian kerana pada hari tersebut turunnya kalam Allah SWT yang terakhir sebagai mukjizat kepada nabi terakhir untuk seluruh alam.
Oleh itu, penulis mengajak para pembaca agar bersama-sama merenung dan bermuhasabah tentang diri kita.
Apakah tujuan sebenar al-Quran itu diturunkan? Adakah kita sudah berusaha mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian? Diturunkannya al-Quran sudah tentulah mempunyai pelbagai tujuan dan peranan.
Namun begitu, di sini penulis ingin berkongsi beberapa amalan yang boleh kita semua laksanakan sepanjang Ramadan bersama al-Quran.
MEMAHAMI AL-QURAN
Ramadan merupakan bulan al-Quran, maka kita semua amat digalakkan untuk menghabiskan masa pada bulan ini dengan al-Quran, sama ada melalui pembacaan atau menghayati maksud ayat-ayat al-Quran untuk memahaminya (tadabbur).
Oleh itu, sering kali kita melihat para alim ulama memperbanyakkan masa dengan tilawah al-Quran, bahkan ada yang mengkhatamkannya berkali-kali.
Antara perkara yang juga harus kita lakukan ialah berusaha tadabbur al-Quran, kerana sememangnya ia diturunkan tadabbur kandungannya sebagaimana fi rman Allah SWT: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu, wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, supaya mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan supaya orang yang berakal sempurna mengambil iktibar.” (Surah Sad: 29) Tadabbur merupakan tujuan utama penurunan al-Quran itu sendiri, iaitu supaya manusia mengambil iktibar daripadanya dan seterusnya mengamalkannya.
Adapun tafsir pula merupakan satu disiplin ilmu yang lain, yang bertujuan untuk mengetahui makna ayat-ayat al-Quran.
Ilmu ini memerlukan penguasaan pelbagai bidang seperti ilmu bahasa Arab, nahu, sarf serta ilmu-ilmu lain yang berkaitan.
Tujuan utama tafsir ialah sebagai wasilah untuk mencapai maqasid penurunan al-Quran itu sendiri.
Imam al-Nawawi menyebut apabila seseorang membaca ayat al-Quran, hendaklah dia membacanya dengan khusyuk serta tadabbur maknanya kerana hal itu merupakan perkara yang dituntut dan menjadi tujuan al-Quran diturunkan.
Perbuatan tersebut akan menjadikan hatinya lapang dan memperoleh petunjuk.
BERUSAHA MEMPELAJARI AL-QURAN
Di samping kita memahami al-Quran, kita juga amat dianjurkan untuk belajar serta memperbaiki bacaan al-Quran agar menepati bacaan Rasulullah SAW atau sekurang-kurangnya mengurangkan kesalahan dalam bacaan.
Jadikan Ramadan sebagai titik permulaan untuk kita mempelajari al-Quran. Jika belum mampu, kita boleh memulakannya dengan bacaan Iqra’ serta muqaddam terlebih dahulu.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidaklah sesuatu kaum itu berkumpul di rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun ketenangan kepada mereka, diliputi rahmat Allah, para malaikat mengelilingi mereka dan Allah menyebut mereka dalam kalangan makhluk yang berada di sisi-Nya.
“Dan barang siapa yang amalannya lambat, maka nasabnya tidak akan dapat mengangkat darjatnya.” (Hadis riwayat Muslim) Al-Quran perlu dipelajari dengan cara berguru atau secara talaqqi (bersemuka dengan guru).
Hal ini berdasarkan peristiwa Nabi SAW diajar oleh Jibril AS secara talaqqi. Di samping itu, Nabi SAW mempelajari al-Quran bersamasama Jibril AS pada setiap tahun sekali.
Namun pada tahun kewafatan Baginda SAW, ia dibacakan sebanyak dua kali.



