BARU-BARU ini, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah mendedahkan, wanita yang kesunyian dan berusia sekitar 50 tahun ke atas menjadi sasaran utama sindiket penipuan cinta.
Modus operandi satu sindiket penipuan melalui media sosial yang dikenali ‘Parcel Scam’ itu, mengakibatkan mangsa terpedaya sehingga terpaksa menangguh kerugian yang bukannya sedikit malah, mencecah jutaan ringgit.
Sehubungan itu, sebanyak 7,548 kes direkodkan sejak 2018 hingga Jun tahun lalu dengan melibatkan kerugian lebih RM382 juta dengan kira-kira 7,200 individu dilapor menjadi mangsa.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, daripada jumlah mangsa itu, sebanyak 82 peratus atau 6,251 mangsa adalah wanita.
Bakinya iaitu 1,297 kes melibatkan mangsa lelaki. Jumlah mangsa mungkin lebih daripada itu, tetapi tidak dilaporkan, manakala rata-rata golongan wanita yang menjadi mangsa love scam ini terdiri daripada ibu tunggal dan bujang.
Tidak dinafikan kebijaksanaan memerangkap mangsa menjadi senjata ampuh sindiket penipuan ini dalam memperdayakan sesiapa sahaja terutama mereka yang kesunyian.
Majoriti mangsa berkerjaya dan memiliki banyak sumber kewangan.
Lebih mengejutkan apabila ada yang masih berkeluarga turut terjebak dek kehebatan ‘umpan’ hingga ramai mangsa hilang pedoman dan sanggup memenuhi permintaan mereka.
Selain ‘love scam,’ terdapat juga kes wanita di Sarawak turut menjadi mangsa penipuan pekerjaan atau ‘job scam’ menyasarkan wanita lebih muda yang kemudiannya direkrut dengan kaedah serta skrip penipuan tertentu bagi memperdaya mangsa yang seterusnya.
Kerajaan melalui agensi berkaitan melaksanakan pelbagai tindakan dan langkah untuk menangani jenayah scam membabitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pusat Antijenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam tempoh Oktober 2022 hingga September 2023 sahaja, NFCC yang menerajui penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan menerima 53,783 panggilan merangkumi laporan kes penipuan dan khidmat nasihat.
Sebagai tindakan susulan, agensi itu akan meneliti beberapa peruntukan undang-undang sedia ada yang perlu dipinda termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, Kanun Keseksaan dan sebagainya.
Tidak cukup dengan itu, PDRM juga mewujudkan laman web ‘semak mule’ bagi memudahkan orang ramai melakukan semakan ke atas akaun bank dan nombor telefon yang pernah ada laporan polis atau terbabit dengan siasatan pihak polis.
Pada masa yang sama, SKMM juga pernah melakukan sekatan ke atas 2.6 bilion panggilan yang disyaki terbabit dalam perlakuan jenayah dalam talian hingga September tahun lepas.
Realitinya, jenayah yang masih berleluasa ini menuntut orang ramai supaya lebih peka dan berwaspada, tidak sekadar melalui kempen kesedaran dan perkongsian maklumat yang berkaitan.
Dalam erti kata lain, masyarakat khususnya di kawasan terpencil juga wajar tahu modus operasi sindiket, trend terkini, tip pencegahan, bentuk penipuan dan langkah yang perlu dilakukan jika berdepan dengan situasi tersebut.



