ARTIKEL

Helbert (tengah) bergambar bersama pemain gitar Adrian dan pemain bass Nico, yang mempamerkan pedal buatan khas semasa pelancaran Music Shop kolaboratif Cincai Pedal Sarawak, CatSound dan Studio Purrfect. (Foto: Studio Purrfect)

Helbert cipta pedal gitar butik pertama Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Di sebuah ruang kreatif di Jalan Stephen Yong, bunyi gitar, idea dan cita-cita bertemu apabila sekumpulan penggiat muzik tempatan melancarkan Music Shop, satu simbol keberanian mencuba sesuatu yang sebelum ini dianggap mustahil dalam arena muzik independen Sarawak.

Inisiatif kolaboratif Cincai Pedal Sarawak, CatSound dan Studio Purrfect ini menghimpunkan pembinaan peralatan muzik buatan khas, perkhidmatan penyelenggaraan instrumen serta ruang studio kreatif di bawah satu bumbung, sekali gus memposisikan Music Shop sebagai pusat sehenti untuk pemuzik membeli, menjual, menyelenggara dan membina jaringan komuniti.

MENARIK… Pemuzik tempatan ketika mencuba pelbagai pedal ciptaan Cincai Pedal Sarawak pada majlis pelancaran tersebut. (Foto: Studio Purrfect)

Di sebalik penubuhan ini ialah Helbert Chiu Hock How, 31, pengasas Cincai Pedal Sarawak yang juga merupakan pembina pedal gitar butik tempatan pertama di negeri ini.

“Bagi kami, ini adalah produk tempatan pertama yang sangat bermakna untuk komuniti Sarawak kerana penubuhan jenama ini merupakan sesuatu yang sebelum ini dianggap mustahil,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak pada pelancaran Music Shop kolaboratif Cincai Pedal Sarawak, CatSound dan Studio Purrfect.

Tambah Helbert, idea menghasilkan pedal gitar bermula pada pertengahan 2022 apabila beliau ingin mencipta bunyi yang benar-benar berbeza untuk instrumennya sendiri.

“Saya mahukan bunyi apabila orang dengar, mereka akan bertanya, ‘Bunyi apa itu?’

“Akhirnya, selepas berbulan-bulan mengkaji skim dan susunan litar, saya berjaya menemui nada bunyi yang dicari, yang boleh dicapai melalui litar preamp yang dibina dalam bentuk pedal.

“Namun, saya menyedari tiada jenama pedal tempatan di Sarawak ketika itu, menyebabkan saya mengambil keputusan untuk membangunkan satu jenama sendiri secara tempatan,” ujarnya.

Langkah tersebut, katanya, bukan sekadar pencapaian peribadi, malah menjadi simbol keupayaan anak Sarawak menghasilkan produk berkualiti setanding jenama luar negara.

Helbert ketika ditemui Suara Sarawak pada pelancaran Music Shop kolaboratif Cincai Pedal Sarawak, CatSound dan Studio Purrfect.

“Ia bukan sesuatu yang hanya boleh dilakukan oleh orang Barat atau China.

“Kita orang Malaysia juga boleh melakukannya, terutama orang Sarawak,” tambahnya.

Usaha membangunkan Cincai Pedal tidak mudah kerana Helbert menggambarkan proses tersebut sebagai penuh turun naik, bermula dengan penghasilan prototaip ringkas sebelum projek itu terhenti seketika akibat komitmen kerja.

Pada 2024, beliau membuat keputusan besar meninggalkan pekerjaan tetap bagi menumpukan sepenuh masa kepada pembangunan Cincai Pedal sebagai usaha serius.

Menariknya, identiti tempatan jelas diterapkan pada produk keluaran jenama itu menerusi nama pedal seperti Nasi Lemak, Glass Chelum (gelas hitam) dan Medium Belacan (belacan sederhana).

“Pedal pertama, Nasi Lemak, berfungsi menebalkan nada bunyi.

“Bunyi yang nipis akan menjadi lebih berkrim dan tebal, jadi saya memang mahukan sentuhan lokal yang kuat,” jelasnya.

Menjelas lanjut, beliau berkata kebanyakan nama pedal diilhamkan daripada karakter bunyi dan penampilan visual, sekali gus menggabungkan unsur humor, budaya dan identiti tempatan dalam setiap unit.

Berbeza dengan pedal komersial yang dihasilkan secara besar-besaran, Helbert berkata setiap unit Cincai Pedal dibina dari awal dan terus diperhalusi walaupun selepas dilancarkan.

“Pedal komersial sudah mencapai tahap maksimum dalam pengeluaran, tetapi kami sentiasa menaik taraf dan mengubah suai mengikut cita rasa komuniti muzik tempatan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan penyesuaian ton sebagai lanjutan kepada identiti seseorang pemuzik.

“Penyesuaian inilah yang membolehkan pemuzik menonjolkan personaliti mereka sendiri,” kongsinya.

Mengulas cabaran yang dihadapi, Helbert mengakui pasaran kecil dan tahap kesedaran terhad dalam kalangan pemuzik baharu menjadi kekangan utama dalam membangunkan jenama peralatan muzik niche di Sarawak.

“Ada yang masih belum tahu apa itu pedal atau bunyi yang mereka perlukan.

“Oleh itu, kepentingan pendidikan dan aksesibiliti kepada pemuzik baharu dan muda menjadi objektif utama di Music Shop,” ujarnya.

Kongsi Helbert lagi, visi jangka panjang beliau adalah untuk melihat Cincai Pedal mewakili Sarawak di pentas antarabangsa, termasuk platform seperti Persatuan Kebangsaan Peniaga Muzik serta pasaran serantau yang lebih luas.

“Saya mahu Cincai Pedal mempamerkan apa yang mampu dilakukan oleh anak Sarawak.

“Oleh itu, beberapa fokus utama dilaksanakan bagi memperkukuh asas tempatan dengan Music Shop dibuka kepada pemula yang mencari instrumen pertama.

“Selain itu, peminat muzik yang ingin memperhalusi nada bunyi serta penggiat muzik berpengalaman yang memerlukan penyelesaian berkualiti dan mampu milik bagi alat muzik mereka juga boleh singgah ke sini,” katanya.

Sehubungan itu, Music Shop ditubuhkan bagi menyediakan akses mampu milik kepada peralatan berkualiti serta perkhidmatan penyelenggaraan yang boleh dipercayai untuk pemuzik tempatan, sama ada pemula mahupun penggiat berpengalaman.

Sebagai antara ruang fizikal terawal di Kuching yang memfokuskan kepada instrumen muzik pramilik, Music Shop menyediakan platform selamat untuk jual beli gitar, bass, pedal dan penguat bunyi (amplifier), selain membolehkan pelanggan menguji peralatan secara langsung sebelum membuat keputusan.

Setiap instrumen dan aksesori diperiksa serta diuji bagi memastikan kualiti dan kebolehpercayaan mesra pemuzik.

Selain jualan, Music Shop turut menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan menyeluruh termasuk setup penuh, pelarasan aksi dan intonasi, pembaikan elektronik, perataan fret serta penyesuaian perkakasan.

Seperti yang sering diungkapkan pasukan tersebut, “Tiada gitar yang buruk, cuma setup yang kurang baik.”

Bertempat di Studio Purrfect, inisiatif ini menjadi sebahagian daripada ekosistem kreatif yang lebih luas, merangkumi fasiliti latihan, rakaman langsung serta ruang acara yang mampu menampung sehingga 80 tetamu.

Studio berkenaan beroperasi sebagai hab kreatif bukan berasaskan keuntungan dan sedang membangunkan projek seperti audio siar Purrfect Que, selain menyasarkan peranan sebagai persinggahan utama pemuzik dan artis di bandar raya ini.

Integrasi ini membolehkan pemuzik bergerak lancar daripada penyelenggaraan atau pembelian instrumen kepada latihan, rakaman dan penganjuran acara dalam persekitaran yang sama.

Pedal buatan khas oleh Cincai Pedal Sarawak dipamerkan di Studio Purrfect yang terletak di Jalan Stephen Yong.

BERITA LAIN

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,

BERITA TERBARU

Empat maut padam kebakaran hutan Bromo

JAKARTA: Empat orang maut manakala dua lagi melecur teruk selepas terperangkap dalam asap tebal dan api yang merebak dengan pantas ketika berusaha memadamkan kebakaran hutan

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke