KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan rombongan berdepan detik cemas apabila helikopter dinaiki mereka membuat pendaratan cemas susulan cuaca buruk, kira-kira jam 2.45 petang tadi.
Mengesahkan perkara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata helikopter Hornbill Skyways itu membuat pendaratan cemas di Padang Kawad Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
“Helikopter Hornbill Skyways membawa Ketua Menteri mendarat di Padang Kawad Unimas kerana cuaca buruk,” katanya yang dihubungi, hari ini.
Beliau berkata Abang Johari dan rombongan kemudian meneruskan perjalanan melalui jalan darat.
Aidi berkata semasa kejadian, Abang Johari bersama rombongan sedang dalam perjalanan pulang ke Kuching selepas meninjau proses pengundian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 ini.



