ARTIKEL

ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi (tiga kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Belia Islam Harapan Daerah Mukah kepada Helmi dalam Majlis Malam Kesyukuran Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Mukah 1488H/2026M.

Helmi anggap anugerah Maulidur Rasul sebagai amanah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Belia Islam Harapan Daerah Mukah yang diterima Mohd Helmi Zamil, 32, dianggap bukan sekadar pengiktirafan peribadi, sebaliknya amanah untuk terus berbakti kepada masyarakat dan membimbing golongan belia.

Menurutnya, penghargaan itu turut menjadi pengiktirafan kepada rakan belia, sukarelawan dan masyarakat yang bersama-sama menjayakan pelbagai program kemasyarakatan di Mukah serta Daerah Kecil Balingian.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan terharu menerima anugerah ini.

“Saya melihatnya bukan sebagai pencapaian peribadi, tetapi satu amanah untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

“Penghargaan ini juga adalah untuk semua rakan belia, sukarelawan dan masyarakat yang selama ini bersama-sama menjayakan pelbagai program,” katanya kepada Suara Sarawak.

Mengulas lanjut, pelibatannya dalam aktiviti kemasyarakatan lebih tertumpu kepada pembangunan belia termasuk penganjuran aktiviti sukan, larian santai, gotong-royong, kesukarelawanan serta program yang menghimpunkan golongan belia luar bandar.

Ujarnya, aktiviti berkenaan bukan sekadar mengisi masa lapang, malah menjadi platform untuk membina ukhuwah, disiplin dan semangat saling membantu yang selari dengan nilai Islam.

Sehubungan itu, Helmi berkongsi, inspirasi terbesar dalam usaha berkhidmat kepada masyarakat adalah daripada ibu bapa dan isteri.

“Mereka sentiasa mendidik serta mendorong saya untuk mengamalkan nilai keikhlasan dalam kehidupan.

“Saya juga banyak belajar daripada pemimpin komuniti di Mukah yang sentiasa meletakkan kepentingan masyarakat melebihi kepentingan diri,” katanya lagi.

ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi (tiga kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Belia Islam Harapan Daerah Mukah kepada Helmi dalam Majlis Malam Kesyukuran Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Mukah 1488H/2026M.

Menyentuh tema ‘Ummah Maju Makmur’ beliau memberitahu, kemajuan sesebuah ummah tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan pencapaian ekonomi dan teknologi, sebaliknya perlu turut disokong kekuatan akhlak, ilmu dan perpaduan.

Ujarnya, golongan belia perlu menghayati konsep itu dengan menjadi individu yang memberi manfaat kepada orang lain serta menggunakan pengaruh dan media sosial untuk menyebarkan perkara yang positif.

“Belia merupakan pelapis kepimpinan negara dan peranan kita adalah menunjukkan akhlak yang baik, menjadi contoh dalam kejujuran, menghormati perbezaan, membantu masyarakat serta berani membawa perubahan yang memberi manfaat.

“Rasulullah SAW mengajar kita bahawa kepimpinan bermula dengan akhlak,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, lambakan maklumat dan pengaruh media sosial antara cabaran utama yang dihadapi golongan belia masa kini kerana berupaya menghakis nilai positif sekiranya tidak ditapis dengan bijak.

Jelasnya, golongan belia perlu mempunyai celik digital, bijak memilih kandungan yang bermanfaat serta mendapatkan bimbingan daripada keluarga, guru dan komuniti yang baik.

“Bagi menarik lebih ramai belia menyertai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan, pendekatan yang digunakan perlu disesuaikan dengan minat golongan berkenaan.

“Program keagamaan tidak semestinya hanya diadakan di masjid, sebaliknya boleh digabungkan dengan aktiviti sukan, rekreasi, kesenian, kesukarelawanan dan pembangunan kemahiran.

“Apabila pendekatannya lebih terbuka dan mesra belia, saya percaya penyertaan mereka akan meningkat,” jelasnya lagi.

Helmi turut menyeru golongan belia supaya tidak menunggu sehingga mempunyai kesempurnaan atau kemampuan besar untuk mula berbakti kepada masyarakat.

Tegasnya, jangan menunggu sehingga kita sempurna untuk mula berbakti kepada masyarakat, sebaliknya ia bermula dengan perkara kecil.

“Ini adalah seperti program kemasyarakatan, menghormati ibu bapa, menjaga solat dan membantu orang lain dengan penuh keikhlasan.

“Insya-Allah, daripada langkah kecil itu, tentunya akan lahir perubahan yang besar,” tambahnya.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha