BAU: Naik taraf Hospital Bau perlu diberikan perhatian dalam Belanjawan 2027 bagi membolehkan bangunan baharu dibina untuk menampung pertambahan penduduk yang memerlukan perkhidmatan kesihatan di daerah ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep berkata cadangan untuk menaik taraf dan membina bangunan baharu tersebut telah dikemukakan, namun beliau berasa terkilan apabila cadangan itu tidak disenaraikan dalam Belanjawan 2027.
Katanya, Hospital Bau bukan sahaja menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di Bau, malah turut menerima pesakit dari Stungkor, Lundu, termasuk dari sekitar Padawan dan Penrissen.

“Kita mempunyai 76,000 rakyat dan hospital ini menampung keseluruhan Bau dan bukan sahaja Bau. Masyarakat dari Padawan, Penrissen juga kadangkala datang ke Bau.
“Jadi kita perlu bangunan yang lebih sesuai dengan kelengkapan yang terkini untuk Hospital Bau, tapi sedih ia tidak tersenarai,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Pemimpin Bersama Masyarakat di Kampung Melayu Pangkalan Loji di sini hari ini.
Sehubungan itu, Henry yang juga ADUN Tasik Biru berkata hospital berkenaan amat perlu dinaik taraf selain dilengkapi dengan peralatan terkini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat Jumaat lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1.2 bilion bagi penyelenggaraan dan pembaikan semua prasarana hospital serta klinik awam, termasuk menaik taraf klinik daif yang masih berbaki.





