ISU perkauman bukan perkara yang boleh dipandang remeh oleh masyarakat lebih-lebih lagi dengan adanya Facebook, Instagram, TikTok dan sebagainya.
Ia sinonim dengan penyebaran berita yang cepat atau lebih dikenali sebagai tular.
Dengan kemudahan hanya di hujung jari, semua perkara termasuk hantaran orang awam boleh disebar luas menerusi media sosial tanpa peduli kesan terhadap kehidupan bermasyarakat
. Tidak dinafikan sebagai sebuah negara demokrasi, kita berhak untuk mengutarakan pendapat dalam pelbagai isu, tetapi kita sendiri perlu bijak berfikir dan menapis apa-apa yang ingin ditulis atau diperkatakan.
Jangan ambil langkah mudah mengeluarkan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan marah, benci dan sebagainya kepada kaum lain.
Berhenti mencaci dan menghina di laman sosial seperti Facebook kerana segelintir masyarakat di negara kita menjadikannya sebagai platform utama meluahkan perasaan dan sebagainya.
Yang pernah kita lihat adalah terdapat isu menghina agama, kes cabar-mencabar khususnya melibatkan golongan muda sehingga ada yang menyerang dengan fizikal meskipun ia hanya ditularkan di laman sosial.
Perkara tersebut perlu dipandang serius memandangkan kita perlu menjaga perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum, sifat saling menghormati adalah sangat penting dalam kehidupan hari ini.
Dalam pada itu, umum juga mengetahui bahawa Sarawak hidup dalam berbilang kaum dan masyarakat bahkan negeri ini juga mempunyai pecahan bahasa yang berbeza.
Negeri ini mempunyai lebih 30 kumpulan etnik seperti Iban, Melayu, Bidayuh, Cina, Melanau, Kenyah, Kayan, Penan, Lun Bawang, Kelabit, Kedayan, Bisaya, Punan, Berawan, Lahanan, Kejaman, Sekapan, Baketan Ukit, Tabun, Sihal Tagal, Saban, Lisum, Longkiput, Kadazan Dusun dan Murut.
Sehubungan itu, Sarawak juga mempunyai pecahan pada suku kaum dan membuatkan negeri ini mempunyai lebih daripada 10 bahasa pengantara kerana setiap suku kaum mempunyai pecahan bahasa yang berbeza mengikut kawasan.
Bagaimanapun, melalui perbezaan kaum, bangsa dan agama di negeri ini, kita masih mampu memiliki perpaduan, bersatu dan sebagainya.
Sebelum ini, Kuching juga telah mendapat pengiktirafan sebagai Bandar Raya Perpaduan pertama di Malaysia yang diisytiharkan pada 1 Ogos 2015. Ini bukti bahawa kita menjadi contoh, sekali gus lambang perpaduan di tempat lain.
Selain Sarawak, Malaysia juga merupakan salah satu negara yang mempunyai pelbagai latar belakang kaum yang dapat hidup dengan harmoni.
Antara kaum utama di Malaysia, ialah Melayu, Cina, India, Kadazan Dusun dan Iban tetapi masih mampu hidup harmoni meskipun kadang-kadang terdapat sedikit salah faham dalam kalangan masyarakat di media sosial tetapi pada akhirnya ada mereka yang mengambil jalan penyelesaian untuk berdamai.
Perkara tersebut yang menjadikan keharmonian dan keamanan negara terus terjaga.
Ia juga perlu terus dihidupkan dalam kalangan golongan muda, sekali gus dapat dipertahankan supaya kita terus menjadi contoh dunia.
Perpaduan ini juga sangat penting kerana tanpa perpaduan, masyarakat akan hidup dalam suasana tidak tenteram dan akan menimbulkan banyak masalah, sekali gus membantukan agenda pembangunan sesebuah negara atau negeri.
Kita juga tidak mahu rusuhan kaum yang berlaku pada 1969 atau lebih dikenali sebagai peristiwa 13 Mei berulang.
Ia merupakan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia.
Sejarah hitam itu juga mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda serta mempunyai kaitan rapat dengan Pilihan Raya 1969.
Disebabkan itu, penting untuk kita terus menjaga keharmonian dan memastikan hantaran di laman sosial tidak menimbulkan isu perkauman, agama dan sebagainya..
Memetik laporan berita nasional, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyatakan, Sarawak sentiasa menjadi contoh terbaik dalam menterjemahkan konsep perpaduan yang meraikan kepelbagaian etnik.
Katanya, negeri ini juga disifatkan sebagai salah satu institusi yang inklusif seperti yang digambarkan dalam Malaysia Madani.
Beliau memberitahu semasa menghadiri sambutan Hari Malaysia di Institut Pendidikan Guru Batu Lintang, ada lebih 40 etnik (merujuk kepada siswasiswa di institusi itu).
Contoh ini sentiasa membanggakan, sekali gus dapat mengajar warga Kementerian Pendidikan Malaysia dan menyedarkan kita bahawa soal kepelbagaian ini mesti diterjemahan dalam semua peringkat, terutamanya dalam segmen pendidikan.
Jadi, apakah peranan rakyat untuk memastikan keharmonian dan perpaduan terus dijaga? Tepuk dada, tanya selera!