KUCHING: Semua pemilik premis pasar raya di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) diminta agar menghentikan penyediaan beg plastik kepada pelanggan.
Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata, ia sebagai usaha menyokong inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam mengharamkan penggunaan beg plastik menjelang 2025.
“Meskipun peraturan dilaksanakan dalam kawasan di bawah MBKS pada 2018, namun masih banyak premis pasar raya menjual beg plastik dengan harga RM0.20,” katanya pada sidang media Program Pagi Tanpa Kereta di bangunan MBKS di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung inisitif Kerajaan Persekutuan untuk mengharamkan penggunaan beg plastik menjelang 2025.
Disebabkan itu kata Wee, semua pemilik premis pasar raya dipanggil untuk mencari langkah terbaik dalam usaha menghentikan penyediaan beg plastik kepada pelanggan.
“Kita akan mengadakan perbincangan dengan wakil pasar raya untuk mencari langkah yang paling sesuai bagi menghentikan penggunaan beg plastik dalam kalangan pengguna.
“Ia satu petanda baik apabila melihat orang ramai membawa beg sendiri ke kedai runcit, sekali gus menyesuaikan diri dengan peraturan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya benar-benar pasti mereka akan menyesuaikan diri, tetapi kita perlu menghentikan bekalan terlebih dahulu dan melihat bagaimana perkembangannya nanti,” katanya.





