SUDAH sebati dalam kehidupan kita sehingga sukar untuk membayangkan kehidupan tanpa sebarang pertolongan teknologi.
Adanya teknologi menjadikan hidup kita lebih mudah, menyeronokkan, lebih selesa dan selamat. Teknologi terus dicipta dalam jangka panjang dengan perkembangan pesat menyentuh hampir setiap aspek kehidupan kita.
Namun persoalannya, adakah kita terlalu bergantung kepada teknologi?
Tahun demi tahun, teknologi berkembang begitu pantas, kemajuan yang luar biasa dalam hampir mustahil dalam semua bidang.
Orang ramai pula semakin bergantung kepada teknologi sehingga ada yang berada pada tahap yang sangat bahaya.
Satu kajian dilaporkan CNN mendedahkan fakta mengejutkan, iaitu sebanyak 50 peratus remaja mengaku ketagih dengan telefon pintar.
Sementara sekitar 79 peratus daripada mereka menyemak telefon setiap jam, 72 peratus menyemak telefon dan membalas mesej, manakala 35 peratus daripada responden mengaku menghantar mesej sambil memandu.
Teknologi nampaknya mempengaruhi persekitran kerja, akademik, hiburan dan kehidupan sosial kita.
Ia membuatkan kita bergantung kepadanya untuk hampir semua perkara yang dilakukan.
Telefon pintar dan aplikasi mudah alih (tablet) juga digunakan menyimpan maklumat peribadi seperti hari lahir, nombor kad, tarikh penting dan data penting lain yang digunakan dengan kerap, seperti kata laluan atau kod pengenalan pengguna.
Jika kita tidak bertanggungjawab dari sekarang, maka kita membenarkan teknologi menentukan hidup kita dalam hampir setiap aspek kehidupan, yang akhirnya tanpa disedari merosakkan manusia secara fizikal, mental dan emosi.
Tidak dinafikan hampir semua teknologi membantu kita mempelajari kemahiran baharu.
Kita dapat belajar melakukan sesuatu dari awal menggunakan sumber dalam talian seperti video pendidikan atau program langsung menerusi YouTube.
Namun kemahiran teknikal ini hanya kekal dalam masa yang singkat kerana ia tidak dipupuk dan dikembangkan dalam diri kita.
Sebagai contoh, aplikasi Google Calendar yang popular, ramai yang menggunakan aplikasi ini untuk mengingatkan diri untuk peristiwa atau perkara penting dalam hidup mereka.
Tanpa disedari, kebergantungan ini membuatkan kita kehilangan keupayaan semula jadi untuk mengingat maklumat atau perkara penting itu sendiri.
Kita juga kehilangan keupayaan untuk menghafal dan mencari penyelesaian.
Bagi yang sudah menonton filem Leave The World Behind (2023), anda mungkin mempunyai sedikit gambaran apabila manusia terpaksa hidup tanpa teknologi komunikasi.
Filem ini berakhir dengan lirik So no one told you life was gonna be this way daripada lagu tema sitkom FRIENDS, bertajuk I’ll Be There For You, nyanyian oleh The Rembrandts.
Tiada sesiapa yang tahu pengakhiran kehidupan mereka, begitu juga dengan dua keluarga dalam filem ini, iaitu masing-masing menuju kepada pengakhiran sama walaupun permulaan yang berbeza.
Filem ini menyusun naratif dengan teliti, iaitu meneroka hubungan simbiotik antara wataknya dengan landskap teknologi yang sentiasa berkembang.
Malah tajuk filem itu sendiri membayangkan detasmen yang disengajakan daripada biasa, mengundang penonton mempersoalkan kesan teknologi dalam kehidupan kita.
Ia berkisar dengan kejadian aneh dialami dua keluarga ini yang sedikit demi sedikit membawa mereka kepada satu pengakhiran yang agak tragis.
Betapa tidak bergunanya manusia ketika dalam keadaan tiada komunikasi moden dengan semuanya menjadi buta, walaupun sebenarnya dapat melihat.
Filem ini juga mendalami tema eskapisme digital, iaitu sifat sebenar manusia mula dipamerkan apabila sikap pentingkan diri dan saling bertengkar dalam usaha menyelesaikan konflik.
Oleh itu, daripada filem ini kita dapat belajar pentingnya dalam menyeimbangkan pergantungan kepada sebarang teknologi.
Kita juga perlu mengawal selia penggunaan peranti dan mencari keseimbangan sihat antara teknologi dengan komuniti sekitar.



