ARTIKEL

Hidupan liar pupus kerana wang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

HIDUPAN liar boleh ditakrifkan sebagai hidupan yang hidup bebas atau melata di atas muka bumi ini.

Bagaimanapun pemburuan haram dan penyeludupan hidupan liar secara tidak terkawal menyebabkan krisis hidupan liar dan manusia semakin meningkat.

Malah terdapat beberapa spesies binatang liar dikatakan sudah pupus dan tidak lagi ditemui di habitat asalnya di hutan simpan kekal mahupun taman negara di Malaysia.

Ya, kepupusan hidupan liar akan mendatangkan kerugian kepada negara kerana hidupan liar adalah merupakan khazanah negara yang berharga.

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim baru-baru ini mendedahkan, terdapat tujuh spesies haiwan utama di negara kita kini berada di ambang kepupusan

. Ia terdiri daripada Harimau Malaya, gajah, seladang, kambing gurun, beruang matahari, anjing hutan dan kucing hutan.

Semua hidupan liar tersebut kini diletakkan dalam senarai merah bukan saja Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung (Perhilitan) bahkan turut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Yang pasti perdagangan hidupan liar adalah ancaman utama haiwan tanpa mengira spesies atau sama ada eksotik atau tidak.

Kepupusan hidupan liar merupakan perkara yang sangat serius dan banyak negara menghadapi dilema dalam menangani isu ini kerana ia satu masalah yang tiada kesudahan.

Di Myanmmar contohnya, Tabung Alam Sedunia (WWF) mendakwa pembelian secara haram hidupan liar dalam talian semakin meningkat di negara itu — satu ancaman kepada kesihatan awam dan spesies terancam.

WWF dalam laporannya tahun lalu mendedahkan, jumlah urus beli seumpamanya meningkat 74 peratus dalam masa setahun kepada 11,046, dengan hampir semuanya membabitkan penjualan haiwan hidup di negara itu.

Bagi 173 spesies yang didagangkan, 54 adalah spesies terancam kepupusan di seluruh dunia.

Penyelidik turut mengenal pasti 639 akaun Facebook milik peniaga hidupan liar.

Manakala di Laos, WWF memberitahu, pak belang kemungkinan telah pupus di negara itu. Ia berdasarkan kepada laporan baharu organisasi tersebut yang memberitahu tiada bukti berekod mengenai harimau di hutan Laos selama hampir sedekad.

Tambah organisasi bukan kerajaan ini, harimau tempatan juga sering diburu di negara tersebut sehingga mengalami kepupusan.

Laos dikatakan sebagai satu daripada 13 negara di dunia yang harimau yang terancam kekal di alam liar.

Salah guna teknologi Dalam hal ini, Sarawak tidak terkecuali daripada menghadapi masalah yang sama.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh pada minggu lalu berkata, ada segelintir pihak menyalahgunakan teknologi untuk keuntungan yang menyalahi undang-undang.

Akibatnya, sindiket perdagangan haram hidupan liar di negeri ini berada pada tahap membimbangkan khususnya ketika dunia memasuki era digital yang membawa kepada ancaman dan peluang baharu.

Nah, berdasarkan data ini, kita boleh simpulkan sindiket perdagangan haram hidupan liar akan menggunakan pelbagai cara untuk memastikan perniagaan mereka terus beroperasi. Situasi yang sama turut berlaku di negeri jiran kita, Sabah.

Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) mengesan kegiatan pemerdagangan hidupan liar di negeri ini beralih menggunakan teknologi digital seperti aplikasi sembang WhatsApp dan Telegram selain Facebook.

Memetik pengarahnya, Augustine Tuuga, tindakan tersebut telah menimbulkan cabaran baharu dalam usaha menangani kegiatan pemburuan dan pembunuhan haram serta perdagangan hidupan liar dilindungi di negeri ini.

Berdasarkan dapatan, peniaga dan pemburu hari ini menyesuaikan operasi mereka susulan sekatan dan larangan terhadap perjalanan domestik dan antarabangsa.

Lantaran itu, hutan dan hidupan liar terdedah kepada risiko penyalahgunaan teknologi oleh individu yang ingin mengaut keuntungan! Bukti yang jelas aktiviti haram itu berleluasan pada penularan COVID-19 beberapa tahun lalu.

Ketika banyak perniagaan dan aktiviti komersial ditutup susulan penularan COVID-19, transaksi platform e-dagang dan pembelian dalam talian meningkat, begitu juga perdagangan haram hidupan liar.

Abdul Kadir memberitahu, Facebook menjadi pasaran paling popular, meliputi separuh daripada jumlah kes dikendalikan Perhilitan tahun lepas.

Mengikut statistiknya pula, sebanyak 443 kes membabitkan perdagangan haram hidupan liar di platform dalam talian telah ditangani sejak 2020.

Sebagai rakyat, apa yang harus anda lakukan untuk membantu mematahkan, sekali gus membanteras pemerdagangan hidupan liar?

Sumbangan kecil yang boleh anda boleh lakukan ialah tidak berkongsi maklumat yang menyokong aktiviti pemerdagangan hidupan liar tidak sah di platform media sosial.

Kesimpulannya, tanpa kerjasama semua orang, perdagangan hidupan liar haram akan terus membahayakan hidupan liar tempatan yang berharga.

LAIN-LAIN BERITA

Demi bekalan air bersih

PELBAGAI usaha kini sedang giat dilaksanakan untuk memastikan seluruh rakyat menikmati bekalan air bersih sekali gus menampung keperluan yang kian bertambah selain menyedari kepentingannya dalam konteks

Sistem cukai di seluruh dunia

SISTEM cukai berbeza-beza secara meluas di seluruh dunia, mencerminkan kepelbagaian landskap ekonomi, sosial dan politik negara. Walaupun terdapat banyak variasi, sistem cukai biasanya mempunyai dua

Masa cipta kenangan terindah

BEMULA 9 Februari lalu, cuti akhir tahun bagi penggal persekolahan 2023/2024 bermula dan berakhir pada 9 Mac. Cuti sekolah menandakan masa berharga untuk pelajar berehat

Banjir kilat undang trauma

SEJAK kebelakangan ini banjir kilat yang berlaku terutama di kawasan bandar dan perumahan dilihat menunjukkan peningkatan lebih-lebih lagi ketika hujan lebat berterusan melanda sejak beberapa

Prinsip moral tinggi

INTEGRITI adalah sifat jati diri yang merangkumi keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai dan seumpamanya yang berperanan besar dalam membina

Trend pengangguran global

PENGANGGURAN merupakan fenomena berleluasa yang mempengaruhi individu, keluarga dan masyarakat global. Daripada negara maju sehingga ekonomi membangun, isu pengangguran menjadi cabaran yang memberi kesan kepada

BERITA TERBARU

Hias bilik anak

PADA USIA TERTENTU, ibu bapa harus mengajar anak-anak mereka untuk tidur secara berasingan. Untuk itu, penyediaan dan dekorasi bilik anak memainkan peranan penting untuk memastikan