KUALA LUMPUR: Kumpulan nasyid Hijjaz akan mempersembahkan lebih 30 lagu pada Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah di Istana Budaya.
Konsert itu berlangsung pada 16 dan 17 Oktober sempena ulang tahun ke-30 penglibatan kumpulan tersebut dalam industri seni.

Penyanyi utama Hijjaz, Munif Ahmad, berkata kumpulan itu julung kali menyampaikan sehingga 32 lagu dalam satu persembahan.
Beliau berkata kumpulan itu telah berlatih sesama sendiri sejak awal bulan ini, manakala latihan bersama pemuzik dan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) bermula pada 8 Oktober.
Konsert anjuran Inteam Records itu dibahagikan kepada empat segmen dan turut menampilkan duet bersama kumpulan Inteam, UNIC, Mestica serta Aeman seperti dilapor Bernama.

Ahli Hijjaz, Isman Nadim Isam, berkata stamina dan kawalan pernafasan menjadi keutamaan, selain latihan fizikal seperti larian pagi.
Hijjaz turut melancarkan album baharu enam lagu di bawah label Inteam Digital, iaitu album pertama dalam tempoh 17 tahun.



