ARTIKEL

Foto Freepix.com

Hijrah, transformasi diri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DUA minggu lepas, umat Islam merayakan Hari Raya Korban.

Sempena sambutan perayaan itu, aspek pengorbanan menjadi tajuk utama ceramah, tazkirah, sesi tabayun, penulisan serta penceritaan.

Dalam kolum saya, juga dua minggu lepas, saya menulis tentang ibadah korban dalam aspek diri sendiri.

Aidiladha mengajak umat Islam bukan setakat menyembelih binatang ternakan untuk melaksanakan ibadah korban, tetapi lebih penting lagi ialah “menyembelih” sikap tidak baik yang ada dalam diri kita.

Penyembelihan sikap ini penting untuk kita yang ingin berhijrah — menjadi insan yang lebih baik daripada baik dan baik daripada tidak baik sebelum ini.

Dalam bahasa moden sekarang, ia juga boleh disebut sebagai mentransformasikan diri ke arah kebaikan dalam semua aspek, merangkumi sekeliling kita — dalam diri, di rumah, pejabat dan sebagainya.

Saya bertanya kepada rakan baharu, namanya ChatGPT tentang transformasi diri.

Ini jawabnya, “Sudah tentu! Transformasi diri merujuk kepada proses perubahan menyeluruh dalam diri seseorang — dari segi pemikiran, emosi, tingkah laku, dan nilai — ke arah versi diri yang lebih baik atau lebih sejajar dengan matlamat dan potensi diri.

Ia bukan perubahan luaran semata-mata, tetapi melibatkan perkembangan dalaman yang mendalam”.

Saya tanya lagi, tetapi tentang penghijrahan diri pula.

“Baik, mari kita bincangkan pula tentang penghijrahan diri, yang sebenarnya berkait rapat dengan transformasi diri tetapi lebih menekankan aspek perubahan ke arah kebaikan secara rohani dan moral, terutamanya dalam konteks keagamaan dan nilainilai kehidupan.”

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, penghijrahan didefinisikan sebagai perihal menghijrahkan (pemindahan) dari satu tempat ke satu tempat lain).

Sementara transformasi didefiniskan sebagai perubahan bentuk (sifat, rupa, keadaan, dan lain-lain): satu ~ asas perlu dibuat untuk melaksanakan hukum-hukum al-Quran; mentransformasikan melakukan (meninggalkan dan sebagainya) transformasi, mengubah bentuk (sifat, rupa, keadaan, dan lain-lain).

Transformasi mungkin lebih difahami, namun aspek perubahan itu tetap sama dengan makna penghijrahan.

Hijrah diri

Penghijrahan diri boleh dimaksudkan sebagai proses berpindah daripada keadaan hidup yang lama (yang kurang baik) kepada keadaan hidup yang lebih baik.

Ia juga selari dengan prinsip kebaikan, keinsafan, dan kehendak Tuhan.

Ia bukan sekadar perubahan luaran, tetapi lebih kepada perubahan hati, niat, dan cara hidup manusia.

Ia juga sering dikaitkan dengan konsep hijrah dalam Islam, yang bukan hanya bermaksud berpindah tempat, tetapi berpindah daripada kejahilan kepada ilmu, daripada dosa kepada taubat, dan daripada kelalaian kepada kesedaran rohani.

Ia sangat jelas digambarkan dalam peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW bersama-sama umat Islam dari Kota Makkah ke Kota Madinah pada 1446 tahun yang lalu.

Penghijrahan ini dilakukan atas keyakinan dan iman yang teguh umat Islam ketika itu kepada Allah SWT. Ketika itu, kaum Muhajirin dan Ansar bersatu.

Masing-masing berkorban harta dan nyawa bagi menegakkan Islam.

Jadi, penghijrahan tetap menuntut pengorbanan dan perjuangan yang bukan sedikit.

Seseorang yang sudah lama bergelumang dengan dosa, perlu berjuang dengan diri sendiri untuk menjadi insan yang baik.

Rakan yang mengajak “mengamalkan” keburukan harus dikorbankan (disingkirkan).

Begitu juga segala nikmat, kekayaan, kenikmatan yang diperoleh daripada sumber tidak sah.

Begitu juga perlu meninggalkan apa-apa yang ada setelah banyak usaha dilakukan, tetapi tidak juga berjaya.

Misalnya, berada dalam persatuan atau kelab.

Tujuan asal untuk membantu, namun sekiranya kehadiran seperti tidak dialu-alukan, adalah lebih baik mengundurkan diri.

Sama juga dengan pekerja.

Bukan satu atau dua, ada banyak cerita tentang seseorang yang perlu meninggalkan pekerjaan demi keluarga.

Dia berkorban sebab tujuannya adalah untuk lebih dekat dengan keluarga — ibu bapa, isteri dan anak-anak.

Walaupun pada awalnya terpaksa bekerja keras memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, akhirnya dia juga berjaya. Pendapatan lebih lumayan.

Pengorbanan

Seorang pengusaha lori sewa ada menjelaskan kepada saya tentang tekadnya berhenti bekerja di pesisir pantai (offshore) sematamata untuk lebih dekat dengan isteri dan anak-anak.

“Bukan senang nak berhenti kerja bang.

Sekelip mata saya hilang pendapatan belasan ribu ringgit sebulan.

Tetapi saya tekad sebab isteri kurang sihat… dan tiada orang nak jaga anak,” jelasnya.

Saya tanya; “Jadi, bagaimana boleh buka perniagaan sewa lori?

Kitak pun yang pandu?”

Jawabnya, “Ya bang, saya beli tunai lori ini daripada seorang tauke Cina.

Saya nak buat loan bank, memang tidak dapat.

Saya pentadbir dan saya juga pemandu”.

Jelasnya, dia kini lebih selesa dengan pekerjaan itu.

“Saya lebih dekat dengan isteri dan anak-anak. Bila-bila masa untuk ke klinik… rawatan isteri, tidak ada masalah masa lagi.

Tidak perlu memohon cuti.

Baru saya lihat kegembiraan isteri saya.”

Ini hanya satu cerita.

Pasti ada banyak lagi cerita tentang penghijrahan serta transformasi seseorang dalam kehidupa

Yang pasti, ramai yang berjaya dalam bidang baharu.

Penghijrahan dan transformasi memerlukan manusia memanusiakan diri dalam banyak aspek.

Paling mudah dianjurkan adalah perubahan diri — ibadah, akhlak dan pemikiran kita.

Ini antara yang perlu kita utamakan, sesuai dengan sambutan Maal Hijrah — 1 Muharam pada Jumaat minggu depan

Seminggu ini adalah masa untuk bermuhasabah diri tentang kehidupan kita sepanjang tahun 1446 Hijrah sebagai persiapan hidup pada tahun 1447 Hijrah.

BERITA LAIN

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha