Warga emas disaran menjadikan konsep hijrah sebagai usaha berterusan untuk memperbaiki diri dengan mengimbangi kemajuan teknologi serta pengukuhan rohani, selaras dengan tuntutan kehidupan moden yang semakin mencabar.
Menurut penceramah agama, Ustaz Azmi Shaari, penggunaan teknologi digital dalam kalangan warga emas perlu dimanfaatkan secara positif bagi tujuan menambah ilmu, khususnya melalui pengajian agama dalam talian, selain memperkukuh hubungan dengan Allah SWT dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, warga emas tidak wajar mengasingkan diri selepas bersara. Sebaliknya, mereka digalakkan menyertai aktiviti komuniti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengisi masa lapang, mengurangkan kesunyian dan berkongsi pengalaman dengan generasi muda.
“Warga emas mempunyai pengalaman dan kepakaran yang sangat bernilai. Mereka boleh menjadi pendidik, pembimbing dan mentor kepada masyarakat mengikut bidang masing-masing,” katanya ketika ditemu bual oleh Suara Sarawak sempena sambutan Maal Hijrah di Galeri Pustaka Negeri Sarawak baru-baru ini.
Dalam aspek kerohanian, beliau turut menekankan kepentingan amalan kecil tetapi dilakukan secara istiqamah, khususnya solat hajat sebelum subuh sebagai usaha memohon perlindungan dan rahmat Allah SWT untuk diri serta keluarga.
Selain itu, beliau mengingatkan masyarakat agar lebih berhati-hati dalam penggunaan media sosial, khususnya supaya tidak mudah menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya. Katanya, penyebaran berita palsu boleh membawa kepada fitnah serta dosa yang besar.
Oleh itu, setiap maklumat perlu disemak dan ditapis sebelum dikongsi dengan orang lain. Di samping itu, Ustaz Azmi turut menjelaskan Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada mengejar kemajuan dalam bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan mahupun teknologi.
Namun, setiap kemajuan kebendaan itu perlu disertai dengan pembangunan rohani agar kehidupan manusia kekal seimbang. Justeru, beliau menyeru masyarakat agar menjadikan semangat hijrah sebagai titik perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik.
Menurutnya, usaha tersebut perlu dilaksanakan dengan memperkukuh dua hubungan utama, iaitu hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia, yang menjadi asas kepada kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kelab Digital Warga Emas (DIWARMAS) Kuching, Mohamed Noh @ Johnny Adam berkata, penubuhan kelab tersebut bertujuan memastikan warga emas tidak ketinggalan mengikuti perkembangan teknologi semasa.
Menurut beliau, DIWARMAS memberi pendedahan kepada warga emas tentang penggunaan teknologi digital seperti komputer, telefon pintar dan kod QR yang kini digunakan secara meluas dalam kehidupan harian.
“Di DIWARMAS, kami banyak memberi pendedahan tentang penggunaan teknologi seperti kod QR. Dahulu mereka tidak memahaminya, tetapi kini mereka sudah mula belajar dan memahami fungsinya,” katanya.
Beliau menjelaskan tema hijrah yang diketengahkan sempena sambutan Maal Hijrah amat bertepatan dengan matlamat kelab tersebut, iaitu membawa perubahan positif dalam kehidupan warga emas.
“Hijrah bermaksud perubahan daripada satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik.
“Dalam konteks warga emas, kita mahu mereka berhijrah daripada cara hidup lama kepada pengalaman baharu yang lebih berilmu dan bermanfaat,” jelasnya.
Tambah beliau, penyertaan dalam kelab tersebut turut memberi peluang kepada warga emas untuk berinteraksi dengan masyarakat, menambah kenalan serta mempelajari kemahiran baharu yang dapat membantu kehidupan seharian.
“Dahulu mereka banyak menghabiskan masa di rumah. Namun kini, mereka lebih aktif bergaul, mempelajari perkara baharu dan membina jaringan sosial yang lebih luas,” katanya.
Selain kelas digital, DIWARMAS turut menganjurkan pelbagai program lain seperti ceramah agama, aktiviti kesihatan, senaman dan program sosial bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli.
Menurut beliau, pihak kelab juga merancang untuk mengadakan lawatan ke pusat warga emas lain bagi berkongsi pengalaman dan memperluas pengetahuan tentang penggunaan teknologi secara selamat.
“Kita mahu mereka tahu cara menggunakan telefon pintar dengan betul supaya tidak mudah menjadi mangsa penipuan atau penipu yang semakin berleluasa,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihak kelab merancang untuk mengadakan pelbagai program pada masa hadapan, termasuk Hari Keluarga dan aktiviti riadah, bagi memastikan warga emas kekal aktif serta mempunyai kehidupan sosial yang sihat.
“Kami berharap agar lebih ramai warga emas tampil menyertai aktiviti seperti ini. Jangan bersendirian, sebaliknya perluaskan pergaulan kerana banyak manfaat yang boleh diperoleh,” katanya.
Pada masa sama, majlis sambutan Maal Hijrah bertajuk Hijrah Hati, Hijrah Akhlak dan Hijrah Kehidupan merupakan anjuran DIWARMAS dengan kerjasama Pustaka Negeri Sarawak.
Program ini diadakan bagi menghayati semangat hijrah dalam kehidupan seharian, khususnya dalam aspek pembentukan sahsiah, pengukuhan akhlak serta perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik dan bermakna.
Secara keseluruhannya, semangat hijrah bukan sahaja relevan dalam aspek kerohanian, malah turut mencakupi perubahan sikap, pemikiran dan cara hidup yang lebih positif.
Bagi warga emas, hijrah boleh diterjemahkan melalui kesediaan menimba ilmu baharu, memanfaatkan teknologi secara bijaksana, memperkukuh hubungan dengan Allah SWT serta terus menyumbang kepada masyarakat melalui pengalaman dan kepakaran yang dimiliki.



