Hiruk-pikuk Pangkalan Panjang

BEBERAPA tahun lalu, penulis menerima video kesibukan Jalan Gambier di Kuching. Mungkin dirakam sekitar 1980-an.

Penulis meneliti video itu. Mata tertarik dengan suasana di kedai berdekatan Pangkalan Panjang.

Sebelum pangkalan ini diroboh dan dibina tebingan yang indah dan selesa untuk riadah, di sinilah semua orang berkumpul.

Ada yang datang dari Samarahan, Simunjan, Sebangan, Tebelu, Pusa dan banyak lagi kawasan di negeri ini.

Mereka datang menggunakan bot ekspres berlabuh betul-betul di pangkalan panjang.

Macam-macam dialek dapat kita dengar. “Kitak datang dari sine?” “Kamek dari Sadong Jaya… nak embeli barang sekolah nembiak di kampung.” “Aih po laju ikit… lambat kelak.. kenak tinggai kito situk kelak,” si ibu membebel-bebel si anak yang dah berusia lebih 40-an sekarang.

“Tunggu jap mak… gik nanggar baju soljar lok…” “Macam-macam kau tok eh… tinggai di umah sik maok… ado ati nak ikut ke Kucheng…”

Antara dialog yang pernah penulis dengar apabila melintas kawasan pangkalan panjang. Di sinilah terdapatnya deretan kedai menjual buah-buahan.

Taukenya apek tua sambil dibantu isterinya. Anaknya amoi cantik juga membantu.

“Lai… lai… lai… macam-macam buah ada….segar-segar…” jerit tauke kepada pengunjung lalu-lalang.

Awal 1990-an hingga akhir awal 2000, di sinilah lokasi wajib penulis bersama-sama ibu.

Setiap hari berjumpa Uncle Ah Kim.

“Uncle pisang kapok ada ka?” “Ada-ada… tiga tandan gua simpan sama lu.”

Kadang-kadang apabila ditanya, Uncle Ah Kim menjawab,

“Haiya lu lambat lo… ada olang sudah angkat itu pisang.”

Setelah membayar harga pisang, biasanya penulis dan ibu duduk di kedai minum.

Taukenya Cina, pembuat air Melayu.

Ada reruai Laksa Sarawak. Peniaganya juga Melayu. Kedai ini betul-betul di hadapan stesen teksi – hari ini dijadikan tempat meletakkan patung kucing.

Sebelum ini ada deretan panjang kedai minum di seberang jalan. Macam-macam makanan dijual. Mula beroperasi seawal jam 4.30 pagi.

Ketika di tingkatan enam, selama dua tahun di sinilah lokasi penulis dan bapa duduk sarapan sebelum ke sekolah.

Biasanya secawan teh dan roti canai. Ada ketika minum kopi susu.

Lepas itu akan ke belakang Electra House… cari tandas sebab sakit perut.

Suasana Sibuk

Selepas minum, penulis akan ke sebuah gerai juga milik Cina. Dia menjual pelagai kuih-muih.

Di satu sudut dibuat oleh pembuat kuih Cina. Satu sudut lagi orang Melayu yang buat. Biasanya dari kampung seberang.

Penulis sempat berkawan dengan anak tauke itu. “Ini kitak punya kuih… saya bagi lebih satu… sedekah.”

Selalu sahaja penulis menerima kuih sedekah. Hari ini, gerai itu tiada lagi. Lama juga tidak berjumpa dengan anak tauke tadi selepas penulis mula bekerja.

Suasana sibuk di pangkalan panjang hingga ke malam.

Di sini jugalah tempat pak tambang menambat perahu menunggu penumpang hendak ke seberang.

Biasanya akan berkhidmat hingga ke malam. Pantang mendengar jeritan pelanggan, pak tambang segera mengesan arah suara memanggil.

“Ooooo pak tambanggggg… ada orang sitokkkkk…” antara jeritan yang sering didengar ketika malam.

Waktu itu tiada perahu tambang beroperasi. Hanya beroperasi jika ada pelanggan yang memanggil dari seberang sungai – kawasan pasar.

Inilah tinggalan lama. Pangkalan ini masih ada, tetapi sudah diubah suai selaras tuntutan kehidupan hari ini.

Di sini pelbagai kerenah orang ramai dapat kita lihat. Penulis masih ingat benar dengan suasana ketika itu. Masih jelas terbayang di mata dan terngiang-ngiang di telinga hiruk-pikuk waktu itu.

Namun semuanya sudah tiada lagi. Hanya cerita dapat diwariskan kepada anak-anak.