Hobi kami mahal

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

BEBERAPA tahun kebelakangan ini saya melihat aktiviti berbasikal semakin menjadi trend dalam kalangan masyarakat tidak kira tua atau muda. Hampir di setiap penjuru jalan raya, kita dapat saksikan peminat aktiviti berbasikal ini melunaskan hobi mereka. Ada antara mereka sanggup mengayuh basikal hingga puluhan kilometer dan ia bukan perkara mudah kerana memerlukan kekuatan fizikal serta mental. Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang rakan lama yang merupakan penggemar aktiviti berbasikal. Kebanyakan penggemar aktiviti berbasikal ini sanggup menghabiskan ribuan ringgit demi untuk memastikan basikal yang mereka tunggang sempurna dan dalam keadaan baik. Bagi mereka yang tidak terlibat dengan aktiviti ini mungkin beranggapan berbasikal membuang masa dan menghabiskan wang ringgit.

Sekarang ini, sudah menjadi trend – tidak kira hari minggu atau hari bekerja, ada sahaja kelibat orang berbasikal di jalan raya. Berseorangan atau berkumpulan. Tidak tahulah sama ada berbasikal untuk sihat atau niat lebih kepada menunjuk-nunjuk dalam media sosial. Tapi apa-apa pun niat, faktor keselamatan diri dan orang lain harus diutamakan. Ini sama sekali tidak boleh dikompromi. Berbasikal biarlah di tempat yang disediakan atau di kawasan sesuai. Bukan di jalan yang sibuk. Bawa keluarga beriadah pun kena pastikan keselamatan semua. Jangan nak tunjuk berani atau hebat di depan anak-anak. Membawa mereka di jalan yang sibuk, ini memang sengaja mencari pasal. Tiada siapa mahu menghalang aktiviti sihat. Tetapi agak-agaklah. Apa-apa sahaja perbuatan dan tindakan, jangan memudaratkan dan menyusahkan orang lain. Itu standard.

Baca lain  Tilik hilal di ufuk

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, berbasikal akan mengeluarkan hormon endorphin sekali gus mengusir segala perasaan negatif terutama stres. Perembesan keluar endorphin bukan hanya memperbaiki mood dan mengawal keseimbangan hormon individu bahkan menjadikan lebih positif dalam menjalani kehidupan. Namun berbasikal sebenarnya membantu menangani jumlah pelepasan karbon seiring Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dengan Malaysia membuat komitmen mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030. Oleh itu, beberapa dasar perlu diketengahkan, selain fokus kepada pengangkutan dan mobiliti membabitkan aspek keselamatan jalan raya, pembangunan karbon rendah serta bandar pintar, inovasi dan teknologi.

Kita wajar mengikut langkah Thailand mewujudkan trek laluan basikal bertaraf dunia, Sky Lane sepanjang 23.5 kilometer di sekitar Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok yang tersedia dua lorong berkod warna berbeza mengikut kelajuan penunggang. Lokasi ini dianggap strategik kerana memberi peluang kepada pengembara udara transit menikmati pemandangan ketika berkayuh sambil singgah di restoran dan kafe. Ini membuktikan Thailand bukan sahaja berjaya mewujudkan trek mesra basikal, bahkan mengurangkan risiko kemalangan dan membuka lebih banyak peluang perniagaan. Selain mengukuhkan sektor ekonomi, kualiti kehidupan dapat ditingkatkan.

Baca lain  Rumah idaman

Dari sudut teknologi, banyak manfaat dalam sektor basikal terutama inovasi dan keusahawanan. Secara teknikalnya, berbasikal antara pengangkutan sihat tetapi tidak semestinya paling selamat. Ini kerana penunggang terdedah kepada risiko titik buta pemandu berkenderaan berat. Maka, kewujudan teknologi mampu memberi jawaban seperti penggunaan topi keledar pintar, lampu dan pengesan lokasi sistem kedudukan geografi (GPS), sekali gus mencetuskan lagi inovasi baharu. Pelbagai aplikasi diguna pakai menjadikan aktiviti berbasikal lebih menyeronokkan dan praktikal. Aplikasi mesra pengguna seperti Strava digunakan untuk merancang, menjejak dan berkongsi semua perjalanan dengan mudah di samping aplikasi cuaca umpamanya Dark Sky.

Begitu juga komponen mekanikal tidak kurang hebatnya. Bagi mereka berkecimpung dalam dunia berbasikal, naik taraf komponen tidak dapat dielakkan. Komponen penting seperti groupset, set rangka dan tayar kadangkalanya mencecah ribuan ringgit. Evolusi kaset berkelajuan 8 hingga terkini 12, cuma mengambil masa kurang 20 tahun. Ini memaksa pengeluar dan peniaga sentiasa bersiap siaga agar tidak ketinggalan dalam arus inovasi basikal. Permintaan dalam kerja penyelenggaraan basikal juga kian meningkat. Ada yang terpaksa menunggu giliran hingga berminggu-minggu bagi mendapatkan sesuatu perkhidmatan.

Oleh itu, keperluan dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi seperti graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sangat cerah. Menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), hampir 7,000 usahawan graduan TVET dari 2018 hingga 2020 dihasilkan. Bilangan ini sangat memberangsangkan kerana lahir lebih ramai pencipta kerjaya berfokuskan teknologi dan inovasi. Pemerkasaan ekosistem antara institusi, industri dan pembuat dasar diperlukan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Baca lain  Usah mudah putus asa cari pekerjaan

Berbasikal merupakan senaman yang baik bagi kesihatan malah sambil melakukan aktiviti tersebut, pada masa sama boleh menikmati pemandangan. Aktiviti berbasikal menjadi fenomena baharu dalam kalangan rakyat Malaysia menyebabkan kawasan rekreasi dan jalan raya penuh dengan penunggang basikal terutama pada hujung minggu. Walaupun aktiviti itu baik untuk kesihatan dan alam sekitar, namun orang ramai dinasihatkan agar mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak sebarang risiko seperti kemalangan. Ia termasuk mementingkan aspek keselamatan seperti memakai topi keledar, pakaian cerah dan mengambil kira faktor masa serta lokasi apabila melakukan aktiviti itu. Kemalangan yang meragut nyawa penunggang basikal baru- baru ini wajar dijadikan iktibar.

Sama ada kelalaian daripada penunggang basikal atau pemandu lain, risiko tetap ada sekiranya menunggang di jalan utama. Justeru, penunggang basikal diminta melakukan aktiviti tersebut di laluan atau kawasan yang disediakan. Pada masa sama, kerajaan perlu mewujudkan satu undang-undang khas bagi penunggang basikal dalam usaha mengelak kejadian yang tidak diingini. Jangan sampai, sudah terhantuk, baru tengadah.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Awasi jerat penipu

SEKITAR awal pagi Selasa lepas, saya menerima panggilan daripada seseorang.

Lain-lain

Awasi jerat penipu

SEKITAR awal pagi Selasa lepas, saya menerima panggilan daripada seseorang.