KUALA LUMPUR: Jenama kasut dan pakaian sukan berprestasi tinggi yang sedang meningkat naik di peringkat sejagat, Hoka menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya tiga cawangan jualan di Malaysia menjelang penghujung tahun ini dalam mendekati lebih ramai golongan pelari di sini.
Selepas melancarkan cawangan sulungnya di Suria KLCC hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif REV Edition Pornsak Chinawongwatana berkata mereka telah merancang untuk membuka dua lagi cawangan di Lembah Klang tahun ini.
“Cawangan kami seterusnya ialah di Tun Razak Exchange (TRX) dan kami akan mengumumkan yang satu lagi nanti. Untuk tahun ini kami akan menumpukan kepada Lembah Klang, kemudian pada tahun hadapan kami akan pergi ke tempat lain,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian cawangan itu.
Chinawongwatana berkata Hoka mengunjurkan mencapai jualan tahunan US$2 biliion sulungnya (kira-kira RM9.07 bilion) di seluruh dunia tahun ini, sementara sasaran utama di Malaysia ialah memudahkan barangan jenama ini diperoleh sesiapa pun.
“Matlamat kami di Malaysia pada masa ini ialah untuk memperkenalkan jenama ini, meningkatkan capaian kepada komuniti pelari kerana sebelum ini akses kepada jenama kami sangat terhad. Kami mahu memastikan pelari lebih mudah mendapatkan barangan Hoka dari sebelum ini,
Kami akan menganjurkan pelbagai aktiviti terutama dengan pelari untuk mereka mencuba kasut kami. Kunci kejayaan Hoka ialah untuk pelanggan mencuba dan merasainya sendiri,” katanya.
Sebelum ini, produk Hoka hanya boleh didapati menerusi kedai dan rangkaian sukan lain di Malaysia. REV Edition merupakan pemegang hak pengedaran jenama Hodak di Malaysia.
– Bernama


