ARTIKEL

Hoki: Melaka tekad tamatkan empat tahun kemarau kejuaraan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki Melaka memasang impian menamatkan penantian empat tahun untuk menjulang semula kejuaraan Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak kali ini, selepas kali terakhir muncul juara pada 2019.

Ketua pengendali skuad Melaka Nor Ikhram Sulaiman berkata modus operasi yang digunakan pasukan di bawah kendaliannya ialah belajar dari kelemahan, bagi mengekalkan momentum ke perlawanan final Sabtu ini. 

“Dari awal permainan, kami berusaha mencari sebarang kelemahan yang perlu diperbaiki, sehinggalah kami berjaya menang dan mengalahkan Perak kelmarin,” katanya kepada pemberita semasa sidang media praperlawanan akhir Piala Tun Abdul Razak 2023 di Stadium Hoki Bukit Jalil, di sini, semalam.

Nor Ikhram berkata pasukannya dibarisi 10 pemain muka baru berumur dalam lingkungan 15 hingga 32 tahun, yang juga pelapis bagi skuad Melaka bagi tahun 2024 hingga 2026.

Semalam Melaka berjaya menyingkirkan juara bertahan Perak, menerusi penentuan pukulan penalti 3-2, sekali gus melangkah ke final hari ini bertemu Kuala Lumpur, yang mengecewakan Pahang 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Wanita Selangor Ikmal Abdul Jabbar berkata beliau tidak meletakkan apa-apa tekanan kepada pasukan, bagi mengurangkan beban terhadap barisan pemain.

“Saya tidak meletakkan apa-apa tekanan, jadi alhamdulillah corak permainan mereka semasa bermain dalam padang tidak terasa terbeban, sebagai juara bertahan,” katanya.

Skuad hoki wanita Selangor bakal membuat perhitungan dengan Sabah pada aksi final hari ini, selepas menewaskan Melaka 2-1, manakala Sabah menundukkan Kuala Lumpur 2-1. – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Kesihatan Tze Yong diutamakan BAM – Norza

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil pendekatan tidak terlalu memberi tekanan kepada pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, dalam usaha mengejar slot ke

Enam perlawanan ujian awal sri kandi Sarawak

KUCHING: Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita, Suffian Ibrahim menegaskan enam perlawanan persahabatan bakal diharungi barisan pemain yang berada dalam skuad bayangan ketika ini. Tiga

BERITA TERBARU