ARTIKEL

Hope in A Bottle: Dua rumah panjang Betong ubah botol terpakai jadi kraf

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Projek “Hope in A Bottle” meletakkan Betong sebagai perintis di Sarawak dalam pembangunan industri kraf komuniti berasaskan kitar semula kaca, menerusi penghasilan produk kraf unik bernilai komersial.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, projek berkenaan mencipta sejarah tersendiri apabila membuka peluang kepada pengusaha kraf tempatan daripada dua rumah panjang di Betong untuk mempelajari kemahiran memproses botol kaca dan plastik terpakai menjadi produk kraf serta barangan kaca bernilai komersial.

Katanya, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan menangani isu pengurusan sisa pepejal di kawasan luar bandar, malah menyediakan penyelesaian terhadap kekurangan kemudahan kitar semula yang menyebabkan sisa kaca dan plastik sering mencemarkan persekitaran serta berakhir di tapak pelupusan sampah.

“Melalui Projek Pembangunan Kraf Komuniti Luar Bandar (RCCDP), peserta siri kedua Hope in A Bottle didedahkan kepada teknik khusus untuk mengubah bahan buangan harian menjadi produk berguna dan bernilai tinggi, sekali gus membuka peluang menjana pendapatan alternatif secara mampan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Gerald, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, berkata program itu diterajui Jawatankuasa Agrokraft Borneo dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menerusi Dana Mudah Cara Warisan dan Kesenian Sarawak.

Menurutnya, pelaksanaan Hope in A Bottle siri kedua ialah kesinambungan kejayaan fasa pertama yang dimulakan ketika pandemik COVID-19, apabila produk botol anyaman kitar semula berjaya dipasarkan di kedai cenderamata di seluruh negara, selain dipamerkan di premis hospitaliti bertaraf tinggi termasuk Hotel Sheraton, Kuching.

Gerald berkata, pelaksanaan projek berkenaan turut mendapat kerjasama strategik sektor awam dan swasta bagi memastikan pemindahan teknologi, kepakaran serta pembangunan produk dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Trienekens (Sarawak) Sdn. Bhd. bertindak sebagai rakan industri dengan menaja peralatan khusus bagi membolehkan proses penghasilan produk kaca kitar semula dilaksanakan secara selamat dan berkesan.

“Sementara itu, The Ranee menyediakan bimbingan reka bentuk serta panduan penyediaan produk untuk pasaran menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan selama 10 tahun di bawah RCCDP bagi membangunkan industri kraf luar bandar.

“Program ini turut mendapat khidmat artis kaca daripada Vietnam, Duc Phan Minh, yang berkongsi kepakaran teknikal serta memperkenalkan teknik khusus kitar semula kaca kepada pengusaha kraf tempatan, sekali gus memperkukuh pertukaran pengetahuan dan kreativiti merentas negara dalam rantau ASEAN,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agrokraft Borneo, Datin Rosemarie Wong menyifatkan kejayaan pelaksanaan inisiatif pertama seumpamanya di Sarawak itu membuktikan pengusaha kraf luar bandar berupaya menghasilkan inovasi yang bukan sahaja mempunyai nilai ekonomi, malah memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.

Beliau turut menekankan kepentingan sokongan berterusan kerajaan dan pihak industri bagi memastikan inisiatif akar umbi seperti itu dapat dikembangkan, khususnya melalui bantuan pembiayaan serta penyediaan peralatan yang bersesuaian.

Katanya, kejayaan berkenaan menjadi titik permulaan kepada penerokaan lebih banyak potensi pembangunan produk berasaskan bahan buangan di Sarawak, dengan harapan bengkel seumpamanya dapat diperluaskan ke komuniti luar bandar lain pada masa hadapan.

Dalam perkembangan berkaitan, The Ranee turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petrosains bagi mengumpul pakaian perlindungan industri terpakai untuk diproses semula menjadi produk jahitan berfungsi seperti beg tote, sarung komputer riba, lanyard dan beg kecil menerusi kerjasama komuniti.

BERITA LAIN

Hubungan harmoni Persekutuan-Sarawak perlu diperkukuh

KUCHING: Hubungan harmoni antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak perlu terus diperkukuh bagi memastikan tuntutan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diselesaikan

BERITA TERBARU