Horeyy!! Balik Kampung

Orang ramai membanjiri terminal bot Sarikei untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

SARIKEI: Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk masyarakat Dayak menyambut Gawai, orang ramai mula meninggalkan kota pulang ke kampung halaman masing-masing.

Tinjauan Suara Sarawak di terminal bot ekspres dan bas di sini semalam mendapati, suasana di pangkalan utama kenderaan awam itu mulai sesak dengan kehadiran orang ramai yang ingin pulang ke kampung namun, keadaan masih terkawal.

Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor, Micheal Liam, 23, berkata, dia menempah tiket kapal terbang lebih awal untuk pulang berhari raya bersama keluarga di Belaga.

Katanya, dia sudah membeli tiket sejak pertengahan April lalu kerana ingin mengelak berdepan pelbagai masalah yang mungkin timbul pada saat akhir.

“Saya memang selalu beli tiket awal setiap kali pulang kampung kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai kemeriahan Gawai bersama keluarga,” katanya.

Berkongsi kegembiraan sama, Lydia John, 30, yang menggunakan bot penumpang untuk pulang ke kampung halamannya di Mupong Tengah Bintangor.

Menurut Lydia, perjalanan ke kampungnya mengambil masa hampir sejam dengan tambang RM18 manakala, bagi yang mempunyai bot sendiri pula membelanjakan lebih RM60 untuk membeli petrol.

“Tidak sukar untuk mendapat bot di terminal Bintangor tetapi jangan pulang saat akhir, sesak dengan orang ramai. Lazimnya bot di sini beroperasi mengikut jadual tetapi bertolak lebih awal jika dipenuhi penumpang,” katanya.

Seorang lagi penumpang, Welfred Thomas, 45, berkata, dia memilih menggunakan kenderaan awam untuk pulang ke kampungnya di Julau kerana lebih selesa dan selamat.

Dengan menaiki bas katanya, dia hanya perlu membayar tambang dan boleh berehat sepanjang perjalanan menuju ke destinasi.

“Saya tidak perlu berbelanja lebih untuk menyeliakan kenderaan, cuma duduk dan tunggu. Tambahan pula, keadaan dalam bas cukup selesa dan kebanyakan pemandunya memang cukup berpengalaman,” jelasnya.

Sementara di Sibu, kakitangan Lembaga Sungai- Sungai Sarawak (LSS) menjalankan tanggungjawab mereka bagi memastikan kelancaran trafik bagi keselesaan orang ramai yang menggunakan Terminal Penumpang Sibu (TPS).

Pada kali ini, LSS mengambil inisiatif memperkenalkan peraturan ‘No Ticket, No Entry’ ke kawasan terminal bagi mengawal kebanjiran penumpang di samping menjamin keselesaan dan keselamatan orang ramai.

Pada masa yang sama, Fasa Satu Operasi Penguatkuasaan Perayaan Hari Gawai, Hari Raya Aidilfitri dan Cuti Persekolahan 2019 bermula 24 Mei hingga 31 Mei manakala Fasa II, 3 hingga 9 Jun depan.

Operasi kali ini melibatkan Jabatan Laut Wilayah Sarawak, Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pihak berkuasa tempatan.