ARTIKEL

Fadillah mewakili Kerajaan Malaysia menyantuni keluarga mangsa nahas TLDM di Pangkalan TLDM Lumut, Perak semalam. | Foto: FB Fadillah Yusof

Hormati waris mangsa, jangan sebar gambar atau video kejadian nahas helikopter – Fadillah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Orang ramai diminta menghormati waris mangsa-mangsa nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak dengan tidak menyebarkan gambar atau video kejadian.
 
Demikian ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, sambil menegaskan tindakan tersebut demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa yang terlibat.

Fadillah (tengah) mewakili Kerajaan Malaysia meninjau lokasi kejadian nahas berkenaan. | Foto: FB Fadillah Yusof

“Saya juga meminta semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi mengenai nahas berkenaan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan,” katanya dalam perkongsian di Facebooknya, semalam.
 
Beliau dalam pada itu mengucapkan takziah kepada seluruh anggota dan keluarga yang terlibat dalam kejadian nahas pada 9.02 pagi semalam. 

Dua helikopter milik TLDM terhempas sewaktu melakukan latihan udara sempena Sambutan Hari Ulang tahun TLDM ke-90 yang sepatutnya bermula 25 April hingga 5 Mei ini.
 
“Bagaimanapun, saya dimaklumkan oleh pengurusan tertinggi TLDM bahawa kesemua acara bagi perbarisan itu dibatalkan dan digantikan dengan solat Jumaat dan bacaan tahlil untuk mangsa nahas berkenaan,” jelasnya.
 
Terdahulu semalam, Ahli Parlimen Petra Jaya itu mewakili Kerajaan Malaysia meninjau lokasi kejadian nahas berkenaan, selain sempat bertemu ahli keluarga mangsa yang berada di hospital.
 
“Susulan kejadian, saya telah diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk segera ke lokasi kejadian dan berjumpa dengan kepimpinan tertinggi TLDM dan keluarga mangsa serta menziarahi jenazah 10 mangsa.
 
“Sejurus tiba di Markas Udara TLDM Lumut pada jam 1.45 petang, saya mendengar taklimat ringkas Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Ts. Shamsuddin Ludin serta beberapa pegawai.
 
“Saya secara peribadi juga amat sedih dan dukacita dengan nahas yang berlaku dan berharap kesemua keluarga mangsa bersabar serta diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian berat ini,” tambahnya.
 
Kejadian menyayat hati ini telah meragut nyawa tujuh wira dan tiga wirawati negara selepas dua helikopter terbabit dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.
 
Apabila pertembungan berlaku, kedua-dua helikopter terbabit dilihat hilang kawalan sebelum terhempas.

Pesawat HOM terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut, sementara pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
 
Selepas berjumpa ahli keluarga dan waris mangsa, Fadillah turut mengunjungi lokasi dua helikopter berkenaan terhempas, iaitu Stadium TLDM Lumut dan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU