MIRI: Hospital Miri sedang mengesan waris atau ahli keluarga kepada seorang pesakit lelaki berusia 75 tahun, dikenali sebagai Siew Wai Hong, bagi membantu urusan perancangan rawatan dan proses discajnya.
Dalam satu kenyataan hari ini, hospital berkenaan memaklumkan pesakit itu telah menerima rawatan di Hospital Miri sejak 14 Jun lalu, namun tidak dapat mengemukakan maklumat diri serta butiran ahli keluarganya.
Menurut kenyataan itu, alamat yang tertera pada kad pengenalan pesakit ialah No. 51, Lopeng, 98000 Miri dan sehingga kini tiada ahli keluarga atau waris tampil bagi menguruskan perancangan rawatan mahupun urusan discajnya.
Hospital Miri turut menyeru orang ramai yang mengenali Siew Wai Hong atau mempunyai sebarang maklumat mengenai waris atau ahli keluarganya agar tampil membantu.
Mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Kerja Sosial Perubatan Hospital Miri, Ketimah Ahmad, di talian 085-460633 pada waktu pejabat, iaitu dari Isnin hingga Jumaat.


