KUCHING: Hotel Sheraton & Resort yang merupakan sebahagian daripada portfolio Hotel Marriott Bonvoy, kini melebarkan sayapnya melalui pembukaan Hotel Sheraton di pusat bandar raya Kuching.
Naib Presiden Kawasan Indonesia dan Malaysia Marriott International Ramesh Jackson berkata, ia sekali gus menjadikan Hotel Sheraton yang pertama di Malaysia Timur dan yang ketiga di negara ini.
Tambahnya, hotel ini bakal berfungsi sebagai penggerak yang sangat ideal bagi menerokai budaya serta makanan yang menarik di bandar raya tersebut.
“Memiliki sejarah, budaya serta warisan dan juga persekitaran yang dikelilingi oleh hutan hujan, Sarawak telah berjaya menarik minat orang ramai yang mengimpikan destinasi pelancongan eksotik.
“Sebagai ibu negeri Sarawak, Kuching juga menjadi destinasi utama bagi perjalanan perniagaan. Justeru, kami sangat teruja mengembangkan portfolio kami di sini dalam usaha mencipta peluang dan menyampaikan misi jenama bagi mewujudkan pengalaman holistik untuk pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, Hotel Sheraton Kuching merupakan salah satu mercu tanda ikonik serta tarikan yang sangat menonjol dengan perbezaan konsep tradisional dan moden.
Jelasnya, perbezaan dari segi seni bina bangunan hotel tersebut yang berkonsepkan kemodenan dibina berdekatan dengan persekitaran yang unik iaitu di Pekan Cina yang dibina sejak zaman dahulu
Hotel tersebut mempunyai sejumlah 378 bilik, termasuk suite eksekutif dan kelab, dengan pemandangan Sungai Sarawak dan juga landskap bandar.
Di samping itu, ia juga dilengkapi dengan empat restoran dan bar, yang bakal menjanjikan pengalaman istimewa untuk pelanggan dengan menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman.
Antara kemudahan-kemudahan lain di hotel tersebut adalah termasuk kolam renang, dan juga bilik dan dewan serbaguna yang ideal untuk persidangan, mesyuarat, dan juga majlis keramaian.



