KUCHING: Hubungan Indonesia dan Sarawak perlu ditingkatkan daripada sekadar hubungan kejiranan kepada perkongsian strategik yang mampu membuka lebih banyak peluang perdagangan, pelaburan, pembangunan industri dan pendidikan demi manfaat bersama.
Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Dr Abdullah Zulkifli berkata, kedua-dua wilayah mempunyai potensi besar untuk bekerjasama memandangkan kedudukan geografi, sejarah, sumber alam dan kepentingan masa depan yang saling berkaitan di Pulau Borneo.

“Pengalaman berkhidmat di Sarawak selama setahun membolehkannya melihat dengan lebih dekat potensi kerjasama antara kedua-dua pihak, terutama dalam pembangunan infrastruktur, transformasi ekonomi, perindustrian dan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Himpunan Persahabatan Indonesia-Sarawak 2026 bertemakan ‘Meraikan Persahabatan, Memperkukuh Hubungan’ yang dihadiri Gabenor Sumatera Barat, Mahyeldi Ansharullah, di sini, malam tadi.
Pada masa sama Abdullah memberitahu, perkembangan hubungan ekonomi dan jaringan institusi sepanjang tahun ini turut diperkukuh menerusi beberapa pertemuan serta lawatan peringkat tinggi, termasuk kunjungan Menteri Perancangan Pembangunan Nasional merangkap Ketua Badan Perancang Pembangunan Nasional Indonesia (Bappenas), Rachmat Pambudy dan Ketua Otorita Ibu Kota Nusantara (OIKN) Basuki Hadimuljono sempena Forum Ekonomi Borneo di Kuching.
Katanya, forum itu menghimpunkan pengusaha dari Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia dengan 17 organisasi serta syarikat menandatangani pernyataan kerjasama.
Jelasnya, persetujuan menjadikan Ibu Kota Nusantara (IKN) sebagai tuan rumah Forum Ekonomi Borneo 2027 turut disifatkan sebagai perkembangan positif dalam memperluas kerjasama ekonomi serantau.
Tambah Abdullah lagi, hubungan antara kedua-dua wilayah turut menerima perkembangan baharu menerusi pelancaran rasmi penerbangan Air Borneo ke Jakarta pada 13 November 2026, melengkapi perkhidmatan penerbangan AirAsia yang sedia beroperasi di laluan berkenaan.
Menurutnya, pertambahan pilihan penerbangan dijangka memudahkan pergerakan penumpang, meningkatkan ketibaan pelancong, membuka peluang perniagaan serta memperkukuh hubungan antara komuniti perniagaan Indonesia dan Sarawak.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan komuniti perniagaan kedua-dua wilayah mengambil peluang berkenaan menerusi lebih banyak pertemuan perniagaan, penerokaan pelaburan, kerjasama antara syarikat dan pelaksanaan usaha sama, dengan Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching bersedia menjadi penghubung kepada kepentingan perniagaan kedua-dua pihak.


