BARU-BARU ini, Lee Hsien Loong menegaskan Singapura dan Malaysia tidak boleh membiarkan sesuatu isu dipolitikkan dan dimainkan, atau meracuni hubungan keseluruhan kedua-dua negara.
Menteri Kanan Singapura itu dipetik berkata, ini boleh menjadikan keadaan lebih sukar dan merosakkan kedua-dua pihak.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Kelab Perniagaan Kuala Lumpur baru-baru ini sebagai sebahagian lawatannya ke Malaysia. Selama bertahun-tahun, katanya, Singapura dan Malaysia berdepan isu lebih sukar dan sensitif seperti bekalan air, pengurusan ruang udara dan persempadanan maritim, yang beliau jangkakan mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.
Malaysia dan Singapura terbabit dalam pertikaian selama 30 tahun berkaitan kedaulatan Pulau Batu Putih, sebuah pulau kecil berkeluasan 8,560 meter persegi, iaitu besar sedikit daripada saiz padang bola. Namun, begitu besar maknanya dari segi kedaulatan dan maruah negara. Pada tahun 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan pulau itu milik Singapura.
Ia memberi kesan mendalam terhadap hubungan kedua-dua negara dan kekecewaan di pihak rakyat Malaysia.
Tetapi secara keseluruhannya, beliau mengakui kedua-dua pihak mencapai kemajuan ketara dalam hubungan selama beberapa dekad. Kita harus menghargai betapa susahnya dan bernilai kemajuan ini dalam perkara khusus yang telah kita capai, mahupun keadaan baik keseluruhan hubungan kita. Ia sama sekali tidak boleh dipandang remeh.
Sesungguhnya, hubungan dua negara berjiran itu tidak selalunya indah. Hubungan kedua-duanya walaupun pada amnya harmoni dan stabil, kadangkala ada ketikanya bergelora disebabkan isu-isu penting. Singapura, dengan penduduk sekitar enam juta jiwa terdiri daripada 75.9 peratus Cina, 15 peratus Melayu, 7.5 peratus India, dan 1.6 peratus lain-lain.
Sekitar 40 peratus penduduknya ialah warga asing, iaitu keenam tertinggi di dunia dari segi jumlah warga asing. Singapura, kedua paling padat dengan penduduk di belakang Monaco. Itulah sebabnya, penambakan tanah antara 1965 hingga 2019 begitu luar biasa.
Singapura berkembang daripada 581.5 km persegi kepada 728 km persegi bagi menampung keperluannya, termasuk dari segi perumahan.
Yang menarik, 90 peratus daripada makanan untuk penduduknya diimport dari 170 negara.
Negara kota itu sentiasa dihormati kerana kemajuan, kebersihan dan tatakelola kerajaannya yang hebat. Sesungguhnya, Singapura dan Malaysia berkongsi hubungan rapat, tetapi kompleks sejak bersama-sama Malaysia pada 1963 sebelum berpisah pada 1965. Oleh itu, pemimpin dan keduadua kerajaan perlu mengambil perspektif strategik serta menguruskan isu dengan teliti dan sensitif dari sudut pandangan keseluruhan hubungan.
Menangani dan menyelesaikan isu dua hala antara negara jiran bukannya mudah. Ia kompleks, dan menuntut pendekatan strategik dan berhati-hati. Bagai menarik rambut dari dalam tepung.
Falsafah dan prinsip menangmenang harus sentiasa terpasak di belakang pemikiran mereka. Sikap kiasu tidak boleh dibenarkan sama sekali. Kita perlu faham, jika tersalah langkah boleh mencetuskan masalah politik dan hubungan dua hala yang sukar. Bukan tidak ada negara berjiran yang bertempur dan berperang kerana gagal menangani isu berkaitan dengan kepala dingin. Justeru, kearifan dan kebijaksanaan amat dituntut. Para pemimpin Singapura dan Malaysia sedar akan hakikat ini, dan pentingnya hubungan mesra, harmoni dan stabil sentiasa dipelihara demi kepentingan bersama dari segi politik, sosial, ekonomi, pelancongan dan seumpamanya.
Kedua-dua negara ini merupakan rakan dagang yang penting. Malaysia dan Singapura mempunyai hubungan perdagangan yang kukuh, dengan Singapura menjadi salah satu rakan dagang terbesar Malaysia.
Jambatan ekonomi ini membolehkan aliran barangan, perkhidmatan, dan pelaburan yang menguntungkan keduadua negara. Industri seperti pelancongan, teknologi maklumat, dan perkhidmatan kewangan bergantung kepada hubungan ekonomi yang stabil dan saling menguntungkan. Malaysia dan Singapura berkongsi banyak persamaan dari segi budaya dan sejarah.
Kedua-dua negara mempunyai populasi yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, dan banyak keluarga mempunyai hubungan di kedua-dua belah tambak. Hubungan yang harmoni memudahkan pertukaran budaya dan sosial, serta memperkukuhkan persahabatan di peringkat rakyat.
Kerjasama politik yang stabil antara Malaysia dengan Singapura penting untuk kestabilan serantau.
Hubungan diplomatik yang baik memastikan kedua-dua negara dapat menyelesaikan sebarang perselisihan atau isu-isu rentas sempadan secara aman dan melalui perundingan. Ini termasuk isu-isu seperti pengurusan sumber air, perjanjian sempadan, dan lainlain. Keselamatan serantau adalah satu lagi aspek penting dalam hubungan Malaysia-Singapura.
Kedua-dua negara bekerjasama dalam menangani ancaman keselamatan seperti terorisme,penyeludupan dan jenayah siber. Dengan bekerjasama, mereka dapat meningkatkan keselamatan serantau dan memastikan kestabilan bagi rakyat mereka.
Sesungguhnya, hubungan yang harmoni antara Malaysia dengan Singapura sangat penting untuk memastikan kestabilan ekonomi, sosial, politik, dan keselamatan kedua-dua negara.
Kerjasama dan pemahaman yang baik antara kedua-dua negara ini bukan sahaja menguntungkan mereka, tetapi juga memberi impak positif kepada keseluruhan rantau Asia Tenggara. Melalui hubungan yang kukuh dan saling menghormati, Malaysia dan Singapura dapat terus membangun dan menghadapi cabaran dan ujian masa depan bersama-sama. Kelihatannya, Malaysia dan Singapura tiada pilihan.
Mereka perlu menjalinkan kerjasama yang kukuh, dan mengelak daripada sebarang konflik dan ketegangan politik yang akan merugikan negara dan rakyatnya.
Sebarang masalah membabitkan sebarang isu perlu diselesaikan dengan cara profesional dan ikhlas.
Semua ini demi kepentingan bersama. Malaysia dan Singapura mempunyai masa depan yang cerah jika hubungan dua hala antara kedua-dua negara itu sentiasa stabil, mesra dan harmoni.
• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.



