KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Manjurul Karim Khan Chowdhury.
Kehadiran Manjurul Karim di Astana Negeri Sarawak sempena kunjungan hormat tersebut turut ditemani isterinya, Farzana Nasrin.

Pertemuan muhibah itu juga menjadi platform untuk memperkukuh lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin erat di antara Sarawak dengan Bangladesh khususnya melibatkan aspek kerjasama ekonomi, perdagangan, pendidikan dan pembangunan sumber manusia.
Dalam sesi perbincangan, Tun Wan Junaidi dan Manjurul Karim bertukar pandangan berkaitan potensi kerjasama strategik dalam pelbagai sektor berimpak tinggi, termasuk pertanian berasaskan agro, keterjaminan makanan, tenaga boleh diperbaharui serta pengajian tinggi.
Ketika pertemuan tersebut Tun Wan Junaidi turut menekankan kepentingan untuk memperkasa pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi masa hadapan.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan produktif itu mencerminkan komitmen bersama untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan dan meneroka peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Dalam hal berkaitan, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut menzahirkan penghargaan kepada Manjurul Karim dan delegasi atas kunjungan hormat tersebut serta berharap hubungan erat di antara Sarawak dengan Bangladesh akan terus diperkukuh demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.






