Hujan dan banjir

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

INI bukan kali pertama, bukan juga kali kelima, tetapi sudah lebih 13 kali dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini,” kata seorang penduduk di pinggir bandar Kuching.

Terbaharu, Sabtu lalu kediamannya, tenggelam lagi, air melepasi paras pinggang.

Katanya, ia adalah antara situasi terburuk yang pernah dialaminya.

“Biasanya air hanya mencecah pergelangan kaki, atau setidak-tidaknya lebih sekaki… tetapi kali ini lain macam, tiga hingga empat kaki,” ujarnya.

Hujan lebat sejak awal pagi Sabtu lalu menyebabkan beberapa kawasan di Bahagian Kuching bagaikan berada di lautan, dan kebanyakan rumah dimasuki air, sekitar sekaki hingga empat kaki.

Beberapa batang jalan raya seperti sungai atau terusan, menyebabkan ada kenderaan yang terperangkap dan tersadai. Mujurlah tiada kejadian yang tidak diingini, terhadap mangsa.

“Di dalam rumah kami bagaikan kolam renang… dan jika bernasib baik, ada ikan yang masuk rumah,” seloroh seorang lagi mangsa banjir.

Bahana banjir kilat cukup memeritkan.

Bukan sekadar memaksa mangsa berpindah ke pusat penempatan sementara, tetapi juga mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda.

Malah ada yang trauma, terutama mereka yang pertama kali mengalaminya.

Banjir kilat, cukup sinonim dengan kawasan bandar atau pinggir bandar.

Banjir secara tiba-tiba itu berlaku apabila hujan lebat tanpa henti, sekitar dua hingga tiga jam.

Malah ada tempat yang sudah pun digenangi air, hanya selepas satu jam lebih hujan menyirami bumi.

Keadaan akan bertambah buruk, jika penduduk tinggal berdekatan sungai, yang secara kebetulan musim air pasang besar. Perubahan iklim global, menyebabkan fenomena hujan lebat berubah drastik.

Baca lain  Jalan alternatif dekatkan jarak bandar Sarikei

Jika dahulu, ia berlaku ketika musim tengkujuh, sekitar November hingga Januari.

Tetapi sekarang sudah pun masuk Mac, sepatutnya, keadaan cuaca panas terik.

Cuaca tidak menentu ini diramal hingga pertengahan Mei depan.

Seperti saban tahun, setiap kali berlaku banjir, maka ketika itu juga pihak berkuasa mengambil langkah drastik, mencari solusi terbaik, di samping mengenal pasti punca utama.

Yang pasti, tahun keberikutnya situasi yang sama berulang, dan memburukkan keadaan, beberapa kawasan baharu turut mengalami nasib yang sama.

Namun, pihak kerajaan, terutama Kerajaan Negeri, sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk menangani permasalahan tersebut. Namun, ia bukan hanya berlaku di Sarawak, malah di seluruh Malaysia.

Malah keadaan di Sarawak, tidaklah seteruk di beberapa kawasan di Semenanjung, terutama di Johor Yang pasti, asalkan turun hujan lebat, pasti akan banjir.

Masalah dasar sungai cetek dikenal pasti antara penyumbang banjir kilat yang kerap melanda beberapa kawasan di negeri ini.

Ini kerana terdapat beberapa sungai di Sarawak dikategorikan sebagai “cetek kritikal” khususnya di kawasan pedalaman.

Ia disebabkan proses pemendapan dan perlu dibersihkan bagi mendalamkan dasar sungai supaya air dapat mengalir laju setiap kali berlakunya hujan lebat.

Timbalan Premier yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas menjelaskan bahawa, JPBNS mengemukakan kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan peruntukan bagi membersihkan dasar sungai-sungai yang terjejas.

“Kalau pembersihan sungai ini dapat dilakukan, maknanya dilakukan tahun ini dengan peruntukan diluluskan, menjelang Ogos depan kerja-kerja membersihkan sungai yang kritikal siap.

Baca lain  Pertanian janjikan pulangan lumayan

Namun pelaksanaannya bergantung kepada peruntukan kerajaan.,” katanya.

Yang pasti, Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha mencari alternatif terbaik untuk meminimumkan bencana alam ini, sekali gus menanganinya dari semasa ke semasa.

Kita di Sarawak juga beruntung kerana pelbagai bentuk bantuan yang dihulurkan oleh pihak berkuasa, terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat, yang sentiasa berada di barisan hadapan, setiap kali banjir.

Kita amat bersyukur kerana, tiada nyawa yang terkorban.

Menyingkap kisah banjir, Malaysia pernah ‘tenggelam’ pada 1926 dan 1971.

Tragedi yang digelar ‘Banjir Kuala Lumpur 1971’ itu bermula akibat hujan monsun lebat berterusan selepas sehari sambutan Krismas pada penghujung Disember 1970.

Disebabkan berlarutan hampir seminggu, paras air di kebanyakan sungai di beberapa negeri melimpah.

Keadaan tidak terkawal di Pahang, diikuti beberapa negeri lain seperti Terengganu, Johor, Kelantan, Melaka dan Selangor.

Kuala Lumpur yang ketika itu masih di bawah Selangor tidak terkecuali dan turut dilanda banjir besar.

Hampir keseluruhan tanah rendah di Semenanjung Malaysia tenggelam sehingga menjejaskan ratusan ribu mangsa dengan tiga negeri mencatatkan mangsa tertinggi yang dipindahkan iaitu Pahang seramai 40,000 penduduk, Johor (17,000) dan Selangor (14,000).

Menurut laporan Reuters, sumber kerajaan ketika itu, lebih 30 nyawa terkorban.

Difahamkan keadaan tersebut turut menyebabkan berlakunya tanah runtuh di pelbagai kawasan tinggi sekali gus memutuskan hubungan jalan raya dan juga kereta api untuk ke bandabandar utama di Selatan juga ke Pantai Timur.

Baca lain  Tegas seperti mengajar di sekolah

Dalam pada itu, sebuah kapal bekalan tentera Laut British, Sir Lancelot yang berpangkalan di Singapura kemudiannya dikerahkan ke Pantai Timur untuk menghantar bekalaan makanan kepada 150,000 mangsa.

Keadaan di Kuala Lumpur bertukar menjadi ‘pulau’ selepas hampir 60 peratus kawasan di ibu kota tenggelam.

Air yang melimpah dari Sungai Klang turut melenyapkan kawasan-kawasan utama hingga Dataran Merdeka.

Yang pasti, banjir besar di Sungai Yangzte, China pada 1931, sebagai terburuk dalam sejarah dunia hingga kini.

Sekitar 3.7 juta jiwa terkorban.

Hujan melampau menyebabkan lembah Sungai Yangzte tidak dapat menampung limpahan air ke kawasan 500 batu persegi.

Jumlah kematian meningkat mendadak selepas banjir, ekoran kebuluran dan penyakit.

Kawasan pertanian musnah sepenuhnya, menyebabkan kebuluran besar-besaran di kebanyakan bandar.

Air sungai yang tercemar menyebabkan banyak penyaklit berjangkit seperti demam kepialu.

Yang pasti, hukum alam sukar diramal, ia boleh datang bila-bila masa dan juga berlalu pergi pada bilabila masa.

Manusia dan alam harus mempunyai hubungan yang baik.

Sebagaimana termaktub di dalam al-Quran (Ar-Rum: 41); “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, maka Allah SWT menimpakan kepada mereka sebahagian daripada akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali ke jalan yang benar”.

Pada asasnya, interaksi antara manusia dengan alam sekitar secara mampan dapat mengekalkan kelestarian alam.

Namun, sekiranya pembangunan yang dijalankan oleh manusia meminggirkan penjagaan dan pemuliharaan alam, maka manusia seolah-olah mengundang bencana.

Oleh itu, pelihara dan puliharalah alam sekitar, kerana ia warisan dunia sejagat. 

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Rumah idaman

RUMAH bukan sekadar keperluan asas untuk berteduh, berlindung dan menenangkan

Tangani obesiti

PASTI ada yang terkial-kial melakukan urusan pejabat, pada hari pertama

Cahaya Aidilfitri

ADA yang merungut, gara-gara persiapan yang kurang lancar, lebih-lebih lagi

Lain-lain

Awasi jerat penipu

SEKITAR awal pagi Selasa lepas, saya menerima panggilan daripada seseorang.