MIRI: Hujan lebat yang berterusan sejak petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di Daerah Beluru dan Marudi terjejas akibat banjir.
Jurucakap Anggota Pertahanan Awam (APM) Marudi berkata, pihaknya telah melakukan beberapa pemantauan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) bagi memantau keadaan banjir di dua daerah terbabit.

“Hasil daripada dua pemantauan di lokasi berasingan yang dijalankan hari ini mendapati sembilan kawasan telah terjejas akibat dinaiki air.
“Pemantauan pertama diadakan di Daerah Beluru, dan antara kawasan yang terjejas akibat dimasuki air lebih kurang satu kaki adalah Rh. Abok Kampung Mulung, dan tiga buah rumah panjang di Ulu iaitu Rh. Kampung Rian, Rh. Takang Kampung Empelam, dan Rh. Rendah Kampung Matek.

“Bagaimanapun, keadaan banjir di kawasan tersebut mula menurun dengan perlahan di beberapa kawasan rumah panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, katanya, pemantauan di lokasi kedua iaitu di Daerah Marudi mendapati empat kawasan telah terjejas, antaranya Kampung Dagang (satu kaki), Pekan Marudi (satu kaki setengah), Kampung Narum (dua kaki), Kampung Padang Kerbau (satu kaki) dan Pangkalan Feri Ridan.

“Beberapa kawasan rendah di daerah ini dinaiki air, namun aktiviti penduduk kampung masih dapat dijalankan seperti biasa kerana hanya bahagian bawah rumah yang berhampiran dengan sungai sahaja dimasuki air.
“Setakat ini, keadaan masih terkawal dan selamat, namun penduduk dinasihati untuk sentiasa peka terhadap keadaan air dan segera berpindah jika tidak selamat,” katanya.




