Kapit: Seramai 12 penghuni dari enam pintu di Rumah Panjang (Rh) William Ubu, Sungai Sut di sini terjejas selepas bahagian dapur rumah mereka ditimbus tanah runtuh pada awal pagi Rabu.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimansyah, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 2.59 pagi akibat hujan lebat.
Sebaik pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapit tiba di lokasi, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai, mereka mendapati runtuhan tanah sudah memasuki bahagian dapur enam pintu rumah panjang tersebut.
“Pasukan bomba telah menasihati penghuni rumah bilik 12, bilik 13, bilik 14, bilik 15, bilik 16 dan bilik 17 supaya tidak berada di dalam rumah dan berpindah ke rumah saudara mara kerana hujan lebat masih berterusan dan dikhuatiri akan berlaku tanah runtuh semula,” katanya.
Beliau menambah, pasukan bomba juga telah memasang sawar-sawar larangan masuk di bilik rumah panjang terbabit.
Sementara itu, Henderi juga memaklumkan bahawa kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di belakang Rh Jawa, Jalan Selirik di sini sehingga mengakibatkan tiang di bahagian dapur tidak selamat.
“Sekiranya berlaku hujan berterusan, dikhuatiri akan berlaku tanah runtuh seterusnya,” katanya.
Henderi menambah, kawasan-kawasan lain di sini yang turut terjejas akibat hujan lebat semalam ialah Bukit Goram yang dilanda tanah runtuh dan banjir, manakala Selepong 3 Jalan Selirik, Simpang Utong, dan Taman Buluh Perindu masing-masing dilanda banjir.





