PENUH semangat, perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan kehadiran para pelajar ke sekolah pada hari pertama persekolahan sesi 2023.
Dari peringkat prasekolah sehingga sekolah menengah, semua pelajar tampil menggunakan pakaian seragam serta pakaian sukan sekolah masing-masing.
Kelihatan ibu bapa turut menemani anak-anak untuk memberi sokongan dan dorongan kepada mereka yang baru pertama kali masuk ke sekolah.
Pada kesempatan ini, Suara Sarawak turut meninjau situasi di salah sebuah sekolah rendah di sekitar kawasan ini iaitu Sekolah Kebangsaan Petra Jaya, hari ini.

Sejak jam 6 pagi, pekarangan kawasan SK Petra Jaya dipenuhi dengan gelagat ibu bapa mengiring anak-anak menuju ke kelas masing-masing.
Malah, ibu bapa serta penjaga kelihatan menggenggam erat tangan anak-anak dengan penuh gementar untuk melepaskan anak buat kali pertama ke kelas masing-basing.
Tangisan yang sering didengari pada hari pertama sekolah, terutama sekali dalam kalangan pelajar baharu langsung tidak kedengaran dek semangat mereka yang kuat.
Walaupun hujan lebat turun pada pagi ini, keriangan dalam kalangan pelajar jelas terpampang dengan loceng sekolah berbunyi tepat jam 7.30 pagi menandakan sesi persekolahan bermula.




