KUCHING: Jenayah perhutanan dan alam sekitar masih menjadi duri dalam daging apabila segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab masih mengambil sumber hutan secara tidak sah.
Ketua Bahagian Pencegahan dan Penguatkuasaan Jabatan Hutan Sarawak, Roslan Othman berkata Kerajaan Sarawak komited dan tegas dalam aspek penguatkuasaan undang-undang demi kelestarian hutan.
“Komitmen ke atas penguatkuasaan hutan adalah komitmen yang berterusan tanpa henti selagi mana perundangan dan usaha memelihara hutan secara mampan sentiasa diangkat.
“Justeru, seminar ini menjadi wadah untuk kita berkongsi ilmu pengalaman dan strategi baharu dalam menangani cabaran dalam menguatkuasakan undang-undang” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Seminar Kesedaran Terhadap Perlindungan dan Penguatkuasaan Hutan 2025, di sini, hari ini.
Tambahnya, seminar julung kali itu menjadi wadah penting yang menyatukan pegawai penguatkuasa hutan serta agensi berkaitan.
“Ia bagi menyelaras pengetahuan strategi dan komitmen bersama dalam menangani pelbagai isu berkaitan perlindungan hutan secara lebih menyeluruh.
“Seminar ini merupakan satu platform bagi semua rakan strategik untuk berkongsi idea dan strategi terbaik untuk memperkasakan aktiviti penguatkuasaan hutan di negara kita” katanya.
Pada masa sama, Roslan berkata penganjuran seminar itu turut selari dengan resolusi Persidangan Perhutanan Malaysia (MFC) Ke-20 (2024) di Kota Kinabalu.
Menjelas lanjut katanya, penganjuran seminar ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh kefahaman bersama mengenai cabaran semasa yang semakin kompleks.
“Seminar ini turut memberi peluang kepada peserta untuk memahami isu dan perkembangan semasa dengan lebih terperinci.
“Peserta dapat meneroka teknologi terkini dalam perlindungan hutan serta merangka cadangan untuk memperkukuh dan memperluas kerjasama pengurusan hutan di Malaysia” ujarnya. — NUR AMIRAH FATINI (Pelatih UniSZA)



