ARTIKEL

Hydra FT cipta kejutan, raih tempat ketiga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Hydra FT, satu-satunya wakil dari kawasan Serembu, Bau, menamatkan cabaran Kejohanan Futsal Terbuka Piala Datuk Mohamad Razi Edisi Kelapan 2026 di tempat ketiga di Riveria Sport Centre, Debak, semalam.

Pasukan itu terpaksa akur dengan kekuatan wakil Selangor, DaniXAyash FT, selepas tewas 1-4 pada aksi separuh akhir, sekali gus terlepas peluang merebut kejuaraan dalam pertandingan yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu lalu.

Pengurus Hydra FT, Allexzandro Juing, berkata kejayaan mara ke kelompok empat pasukan terbaik satu pencapaian membanggakan, terutama selepas pasukannya berjaya mengharungi cabaran sengit sejak peringkat kumpulan.

Hydra FT menamatkan saingan di tempat ketiga.

“Walaupun gagal melangkah ke final, saya tetap berbangga dengan perjuangan dan semangat juang yang ditunjukkan semua pemain sepanjang kejohanan.

“Kejayaan mara ke separuh akhir dan meraih tempat ketiga bersama merupakan satu pencapaian yang wajar diraikan oleh seluruh pasukan,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Allexzandro berkata pertandingan itu dijadikan pengalaman berharga untuk memperbaiki kelemahan pasukan, selain meningkatkan tahap persediaan bagi menghadapi kejohanan yang lebih mencabar pada masa hadapan.

“Kekalahan bukan pengakhiran perjuangan, sebaliknya menjadi pengalaman untuk kami bangkit dengan lebih kuat. Saya mahu pemain terus mengekalkan semangat dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang kejohanan ini,” katanya.

Menurutnya, Hydra FT kini menyasarkan penyertaan dalam kejohanan lebih besar di Bintulu dan Miri, selain tidak menolak peluang mengembangkan cabaran ke luar Sarawak bagi memberikan pendedahan lebih luas kepada pemain.

Hydra FT membuka kempen dalam Kumpulan E dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas PFA Odin B sebelum mengulangi keputusan yang sama ketika menewaskan Ajeng United dalam perlawanan kedua.

Pada aksi terakhir peringkat kumpulan, Hydra FT bermain seri tanpa jaringan dengan Haqi Bangsawan, sekali gus menamatkan saingan awal tanpa kalah dan tanpa melepaskan sebarang gol.

Momentum positif itu diteruskan pada peringkat suku akhir apabila Hydra FT menyingkirkan Bengcelang FT menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam masa permainan sebenar.

Bagaimanapun, perjalanan pasukan itu terhenti di separuh akhir apabila DaniXAyash FT mencatat kemenangan 4-1 dan mengesahkan tempat ke pentas final.

Dalam keputusan akhir kejohanan, PFA Odin dari Kuching mengesahkan kejuaraan dengan membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta piala dan pingat, manakala DaniXAyash FT dari Selangor menerima RM3,000, piala dan pingat selaku naib juara.

Hydra FT dan CKFT dari Indonesia pula berkongsi tempat ketiga dengan masing-masing menerima RM1,000 berserta piala dan pingat, sementara pemain DaniXAyash FT, Syukri Syamel, dipilih sebagai Pemain Terbaik dan rakan sepasukannya, Fakrul Akram, menerima anugerah Penjaga Gol Terbaik.

Kejohanan anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas itu melibatkan 23 pasukan, dengan majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti merangkap ADUN Saribas, Datuk Mohamad Razi Sitam.

BERITA LAIN

Membaca semula kehidupan

SETELAH belasan memblarkan buku menghuni rak di rumah saya, mengikut aturan yang semakin saya sendiri kurang fahami dan mengerti, akhimya saya mengeluarkan semuanya untuk disusun

BERITA TERBARU

Sematan bisi pengulih nyadi palan pekit nginti

SEMATAN: Kandang tasik Sematan bisi pengulih dikemansangka nyadi palan pekit nginti (sport fishing) dikena matak bala ti rindu nginti sereta temuai ari menua tu enggau