BETONG: Pengenalan i-Legasi dilihat sebagai satu langkah penting dalam mewujudkan ekosistem perlindungan sosial yang selari dengan strategi pembinaan negara untuk jangka panjang.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Aila Abdul Latif, dalam keadaan ekonomi dan populasi yang semakin menua, konsep jaminan persaraan yang sebelum ini lebih tertumpu kepada individu kini beralih kepada konsep daya tahan kewangan antara generasi.
“Jika kita bercakap tentang kestabilan sosial, kekuatan kewangan sesebuah keluarga merupakan antara faktor utama yang mempengaruhinya.
“Menerusi i-Legasi, konsep jaminan persaraan dianjak kepada konsep daya tahan kewangan antara generasi. Ini sekali gus memperlihatkan hubungan antara ekosistem perlindungan sosial dengan strategi pembinaan negara dalam jangka panjang,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Beliau berkata, pemindahan sebahagian simpanan terus ke akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) generasi kedua secara positif dapat membantu mengekalkan budaya menyimpan untuk jangka panjang, selain mengurangkan risiko pengeluaran awal yang tidak produktif.
“Apabila simpanan kekal dalam ekosistem persaraan formal, ia secara tidak langsung membantu memperkukuh literasi kewangan, disiplin simpanan serta kesinambungan kekayaan keluarga merentasi generasi.
“Jika diamati lebih dekat, i-Legasi juga boleh menjadi mekanisme yang membantu pencarum merancang pemindahan pewarisan secara lebih proaktif dan tersusun ketika masih hidup, bukan hanya melalui proses pusaka selepas kematian,” ujarnya.
Tambah beliau, pendekatan itu turut membantu generasi muda mempercepat pembentukan asas kewangan jangka panjang melalui suntikan awal simpanan, khususnya dalam keadaan ekonomi semasa yang semakin mencabar.
“Perancangan persaraan antara generasi seperti ini amat bertepatan dengan konteks populasi yang semakin menua, peningkatan kos sara hidup, cabaran demografi serta ketidaktentuan ekonomi global hari ini.
“Pendekatan ini mewujudkan rasa kesinambungan keselamatan kewangan keluarga. Bagi ramai pencarum, nilai utama bukan sekadar pemindahan dana, tetapi keyakinan bahawa simpanan persaraan mereka dapat terus memberi manfaat kepada generasi seterusnya walaupun selepas mereka tiada.
“Dalam erti kata lain, langkah ini merupakan satu anjakan penting yang selari dengan keperluan sistem persaraan moden masa kini,” katanya.
Dari sudut strategi pengurusan KWSP pula, Dr Aila berpendapat pengenalan i-Legasi memperlihatkan usaha memperkukuh peranan KWSP bukan sahaja sebagai pengurus dana persaraan, tetapi juga sebagai institusi kesejahteraan sosial jangka panjang.
Menurutnya, strategi tersebut mampu menyokong kestabilan kewangan keluarga secara lebih menyeluruh dan berterusan demi kesejahteraan masyarakat pada masa hadapan.


