KUALA LUMPUR: Ibu bapa dibenarkan tidak menghantar anak ke sekolah jika bimbang terhadap kesihatan mereka susulan situasi jerebu ketika ini.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata ibu bapa hanya perlu memaklumkan kepada pihak sekolah jika mengambil langkah berkenaan, manakala kementerian memahami kebimbangan mereka dan mengutamakan kesihatan serta keselamatan murid.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) terus memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), terutama di kawasan terjejas, dengan setiap tindakan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
Menurutnya, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah ditutup apabila bacaan melebihi 200.
Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) pagi ini merekodkan Samarahan, Sarawak sebagai satu-satunya kawasan pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 226, manakala 40 kawasan berada pada tahap tidak sihat, 24 kawasan sederhana dan dua kawasan baik seperti dilapor BERNAMA



