JULAU: Polis menahan seorang wanita berusia 21 tahun kerana disyaki mengabaikan anak lelakinya yang berumur empat tahun hingga menyebabkan kecederaan serius dalam kejadian di daerah ini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Alif Haiqal Ramesh Abdullah berkata, penahanan dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Julau pada 21 Oktober 2025 sekitar jam 8 malam selepas menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, laporan diterima pada hari sama sekitar jam 3.30 petang apabila kanak-kanak terbabit dihantar ke Wad Kecemasan Hospital Sibu dalam keadaan kritikal dengan pendarahan otak serta retak pada tengkorak kepala.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik dan dipercayai tidak mendapat penjagaan sewajarnya sebelum kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, polis menahan ibu mangsa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak kepada situasi yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.
Beliau berkata, kertas siasatan telah dikemukakan kepada Kamar Pengarah Pendakwaan Negeri Sarawak dan arahan telah diberikan untuk menuduh suspek di mahkamah.
“Suspek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sarikei pada 31 Oktober 2025. Tiada pengakuan direkodkan dan tiada jaminan ditawarkan. Tertuduh kini direman di Penjara Sibu sehingga sebutan semula kes pada 13 November 2025,” katanya.
PDRM menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang bentuk pengabaian terhadap kanak-kanak dan menyeru orang ramai agar lebih peka terhadap kebajikan mereka.
Orang awam turut diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini bagi mengelakkan kekeliruan sementara siasatan dijalankan secara adil dan telus mengikut undang-undang.



