SATU ceramah bertajuk ‘Ibu Gembira, Keluarga Bahagia’ diadakan di Masjid Hidayatur Rahman, Gersik, baru-baru ini.
Ceramah yang disampaikan oleh Fasilitator Pembelajaran Profesional Bertauliah (Penguasaan), Nor Radhiah Chee, dihadiri oleh para ibu dari kampung berhampiran serta ahli Wanita IKRAM yang ingin memahami kepentingan kesejahteraan emosi dalam kehidupan seharian.
Dalam ceramahnya, Nor Radhiah menekankan bahawa kebahagiaan seorang ibu memberikan kesan yang besar kepada keharmonian keluarga.
Beliau menerangkan bahawa ibu yang memiliki keseimbangan emosi dapat mendidik anak dengan lebih berkesan dan membentuk suasana rumah yang penuh kasih sayang.
Pertama sekali, beliau berkongsi tentang bagaimana cara berfikir dalam menentukan emosi masingmasing.
Apabila berlaku sesuatu peristiwa dalam hidup, kepercayaan yang disimpan dalam diri akan menghasilkan tindak balas terhadap situasi tersebut.
Oleh itu, pemikiran negatif menghasilkan tindakan negatif, manakala pemikiran positif menghasilkan tindakan positif.
Namun, penjagaan diri amat penting agar mereka dapat mencurahkan kasih sayang kepada ahli keluarga.
Beliau mengingatkan agar para ibu menjaga dan menyayangi diri mereka terlebih dahulu.
Tambahan pula, teknik mengawal emosi turut diajarkan kepada para peserta, iaitu teknik kawalan pernafasan dan juga ‘grounding technique’.
Dalam pada itu, ceramah ini diakhiri dengan perbincangan ringkas.
Para peserta berpeluang berkongsi pengalaman dan bertanya soalan mengenai cabaran yang mereka hadapi sebagai ibu dan isteri.
Program ini bukan sahaja memberi ilmu, malah turut menjadi ruang sokongan bagi para ibu yang hadir.
Diharapkan lebih banyak program seperti ini dapat diadakan bagi memperkukuh institusi keluarga dan masyarakat.



