ARTIKEL

Nurul Atiqkah Basri, 27, bersama-sama tiga orang anak kembarnya. Foto: RAMIDI SUBARI

Ibu Kembar Tiga Syukur EFS Ringankan Beban Perancangan Pendidikan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebagai ibu kepada tiga orang anak kembar, Nurul Atiqkah Basri, 27, mengakui perancangan kewangan untuk masa depan anak-anak menjadi antara perkara yang sentiasa diberi perhatian.

Justeru katanya, inisiatif Kerajaan Sarawak untuk mewujudkan Dana Endowmen Sarawak (EFS) memberi sinar baharu kepada ibu bapa khususnya dalam merancang masa depan pendidikan anak-anak.

Menurutnya, bantuan ini dilihat sebagai sokongan penting apabila tiga anak kembarnya mencapai usia 18 tahun kelak.

“Membesarkan tiga orang anak kembar bukan tugas mudah, namun masa depan pendidikan anak-anak kini lebih terjamin dengan adanya bantuan EFS yang boleh dikeluarkan apabila mereka mencapai usia 18 tahun.

“Apabila dana ini boleh dikeluarkan kelak, saya mahu melaburkan bantuan ini dalam bidang pendidikan masing-masing,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, hari ini.

Nurul menambah, inisiatif ini akan digunakan bukan sahaja untuk pendidikan tetapi juga urusan lain yang boleh memberi manfaat kepada anak-anak dan masa depan.

“Sejujurnya, saya fikir hanya seorang anak yang akan dapat bantuan ini. Tetapi, ketiga-tiga anak kembar saya menerima bantuan RM1,000 seorang menjadikan jumlah sebanyak RM3,000.

“Bukan itu sahaja, ibu yang melahirkan turut mendapat RM450 menerusi Bantuan Ibu Bersalin (BIB). Ini sedikit banyak dapat meringankan kos perbelanjaan harian rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau meluahkan rasa bangga menjadi anak Sarawak kerana tampuk kepimpinan yang sangat berorientasikan kepentingan rakyat.
Dalam perkembangan sama, Nurul sempat mendedahkan bahawa dirinya tidak menjangkakan untuk melahirkan tiga orang kembar.

Aryan Shafiq Mohd Sharyezani, Arfan Shazril Mohd Sharyezani dan Aidan Shamil Mohd Sharyezani akan menyambut ulang tahun pertama mereka pada 25 Jun ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU