ARTIKEL

Henry (kanan) dan Saarani (tengah) diberi taklimat oleh Jurutera Bahagian JKR, Wang Say Kwang (kiri), sambil meneliti gambaran artis ICQS Serikin ketika lawatan ke tapak projek. | Foto: Mohd Alif Noni

ICQS Serikin dijangka siap Disember 2027

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAU: Pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin kini mencapai tujuh peratus dan dijangka siap pada Disember 2027.

Timbalan Menteri Pengangkutan II, Datuk Henry Harry Jinep berkata, projek berkenaan menunjukkan perkembangan baik sejak tapaknya diserahkan pada Disember tahun lalu, dengan kerja tanah kini menjadi aktiviti utama.

Projek itu bermula pada 10 Disember 2025 dan dijadualkan siap pada 9 Disember 2027.

Henry ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke tapak projek ICQS Serikin. | Foto: Mohd Alif Noni

Henry berkata, kontrak pembinaan bernilai RM43.66 juta dilaksanakan di bawah peruntukan Persekutuan berjumlah RM50 juta, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dilantik sebagai agensi pelaksana.

“Infrastruktur sokongan termasuk akses jalan raya, bekalan air, elektrik dan sambungan internet akan dilaksanakan secara berasingan, dengan Kerajaan Sarawak bertanggungjawab menyediakan kemudahan utiliti berkenaan.

“Apabila beroperasi kelak, ICQS ini membolehkan pemegang pasport dan kenderaan merentasi sempadan melalui Serikin seperti pintu masuk antarabangsa yang lain,” katanya.

Ketika ini pergerakan merentasi sempadan Serikin masih terhad kepada pemegang pas sempadan, hanya penduduk Bau yang layak dibenarkan bergerak sehingga Seluas di Indonesia, manakala penduduk Indonesia pula dibenarkan memasuki kawasan sehingga Bau.

Henry berkata, pembukaan ICQS berkenaan bakal meletakkan Bau sebagai bandar transit baharu selain merancakkan sektor pelancongan, perdagangan dan aktiviti sosioekonomi menerusi pergerakan penduduk serta barangan antara Sarawak dengan Kalimantan Barat.

“Indonesia sudah menyiapkan kemudahannya sejak beberapa ketika lalu dan kini menunggu kita, jadi kita perlu menyiapkannya.

“Saya akan terus memantau projek ini secara berkala dan berharap kontraktor dapat menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Lawatan itu diadakan bersempena program penanda aras pengurusan sempadan yang melibatkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama anggota Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Perak.

Lawatan Saarani ke Sarawak dari 8 hingga 11 Ogos turut merangkumi beberapa sesi bagi meneliti pendekatan Sarawak dalam pengurusan sempadan dan keselamatan.

BERITA LAIN

15 penerima peruntukan khas Perdana Menteri di Mukah

MUKAH: Majlis Sambutan Warga Emas Mukah bukan sahaja menjadi wadah menghargai golongan berusia, malah turut menyaksikan penyerahan pelbagai peruntukan dan sumbangan bagi menyokong keperluan masyarakat

BERITA TERBARU