KUCHING: Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak kesembilan (IDECS 2026) akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 5 hingga 6 Oktober depan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata persidangan itu merupakan platform penting untuk menterjemahkan pelaburan infrastruktur, teknologi dan bakat kepada nilai ekonomi yang lebih tinggi.
Katanya, usaha ini sejajar dengan sasaran Sarawak untuk memastikan ekonomi digital menyumbang sebanyak 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri menjelang akhir dekad ini, di samping menyokong sasaran pembinaan ekonomi berasaskan RM282 bilion menjelang tahun 2030.
“Bagi edisi kali ini, acara tahunan tersebut disasarkan menarik kehadiran lebih 20,000 peserta dari lebih 30 buah negara, selain melibatkan penyertaan daripada lebih 100 pempamer pameran.”
“Persidangan tahun ini akan memberi tumpuan khusus kepada usaha menukarkan hasil penyelidikan dan dasar kepada penggunaan komersial merangkumi bidang kecerdasan buatan (AI), inovasi semikonduktor, bandar masa depan, bakat digital, serta ekonomi angkasa lepas,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media IDECS 2026 di Menara LCDA di sini, hari ini.
Persidangan itu dianjurkan oleh Kerajaan Sarawak menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Sistem Maklumat Sarawak (SAINS) dengan bertemakan ‘Scaling Innovation Ecosystems for a Borderless Economy: Earth, Orbit and Beyond’.
Selain itu, Julaihi berkata sebanyak lima trek utama bakal ditampilkan sepanjang program dua hari berkenaan, termasuk The Future, Future Cities, Startup Village, SHE-TECH Asia Forum dan Digital Research Conference Centre-of-Excellence.
“IDECS 2026 turut menghimpunkan seramai 104 penceramah tempatan serta antarabangsa, dengan lima penceramah utama (keynote speakers) terkemuka dunia dijemput untuk membentangkan kepakaran masing-masing,” katanya.
Persidangan yang akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ini bakal menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) baharu dan pendaftaran kini dibuka menerusi laman web rasmi persidangan. — MARTHA HAILI (Pelatih UNIMAS)





