MIRI: Seorang penjenayah tegar tidak sempat menikmati hasil rompakan dianggarkan bernilai lebih RM46,000 apabila dia diberkas polis dalam tempoh kurang dari 24 jam selepas memecah masuk sebuah rumah di Jalan Cosmos, Pusat Komersial Pelita pada 26 April lalu.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata lelaki berusia 48 tahun yang mempunyai lapan rekod jenayah itu ditahan kira-kira jam 6 petang semalam di sebuah bilik hotel bajet di sini.
“Suspek ditangkap oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri susulan laporan polis yang di buat oleh seorang kontraktor bahawa rumah disewanya di pecah masuk menyebabkannya kerugian kira-kira RM46,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata barangan yang dilaporkan hilang adalah seutas jam tangan jenama Panerai bernilai RM28,000, rantai jed bernilai RM8,000, tiga unit telefon bimbit dan pelbagai mata wang asing dari Korea Selatan, Indonesia, Jepun, China, Amerika Syarikat, Singapura dan Brunei Darussalam.
Menurut Hakemal, semasa kejadian, kontraktor berusia 46 tahun daripada sebuah syarikat pembinaan terkenal itu tidak berada di rumah kerana keluar untuk makan malam kira-kira jam 8.30 malam.
Katanya suspek dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jiran mangsa, yang dilihat berlegar di luar pintu pagar sebelum memasuki rumah tersebut.
Beliau berkata suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.




