PENYANYI dan pelakon, Ifa Raziah, memilih untuk melihat kecaman yang diterimanya sebagai sebahagian daripada perjalanan seni apabila lagu raya terbaharunya, Gedik Raya dikritik kerana membawa konsep dan gaya muzik yang dianggap terlalu ‘Gen Z’.
Bagi Ifa, atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, 51, usia bukan alasan untuk seseorang artis berhenti bereksperimen atau menyesuaikan diri dengan perkembangan muzik semasa.
Menurutnya, setiap karya yang dihasilkan pasti menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat, namun dia percaya kritikan yang diterima bukan semata-mata disebabkan lagu tersebut.
“Sudah tentu akan ada yang mengecam.
Ada yang mungkin tidak suka lagu atau video muziknya, tetapi ada juga yang kurang senang dengan saya secara peribadi.
“Ada yang mengatakan perempuan seusia saya tidak sesuai membawa lagu bergaya Gen Z.
Namun, bagi saya, kita perlu mengikut peredaran zaman.
Takkanlah mahu menghasilkan lagu seperti era 90-an sahaja,” katanya.
Tambah Ifa, sekiranya lagu tersebut dibawakan oleh penyanyi generasi baharu, mungkin ia tidak akan menimbulkan reaksi negatif seperti yang diterimanya ketika ini.
“Pada awalnya, orang berasa pelik kerana nama Ifa Raziah yang membawa lagu ini.
Jika diberikan kepada artis baharu, mungkin mereka boleh menari atau tampil dengan gaya apa-apa sahaja dan orang akan menerimanya.
“Namun, kerana saya artis generasi lama, apa-apa sahaja yang dilakukan nampak salah kerana mereka menganggap saya sudah berusia,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Ifa menjelaskan bahawa lagu Gedik Raya menjadi tanda kemunculannya semula dalam industri muzik selepas hampir lima tahun berehat daripada menghasilkan karya baharu. Menurutnya, tajuk lagu tersebut juga merupakan cadangannya sendiri kepada komposer Amy UK’s kerana dia mahu menampilkan kelainan berbanding lagu raya yang biasa didengar.
“Lagu ini menjadi permulaan untuk saya kembali aktif berkarya selepas hampir lima tahun berehat. Tahun ini, saya merancang untuk mengeluarkan beberapa lagu secara berturut-turut, bukan sahaja lagu raya, tetapi juga lagu solo dan duet,” katanya.
Selain itu, Ifa turut menjelaskan bahawa video muzik lagu tersebut tidak menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya, video muzik itu menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) dengan bantuan skrin hijau bagi menggambarkan suasana beraya dalam konsep fantasi ‘di kayangan’.
Menurutnya lagi, pemilihan konsep luar biasa itu dibuat kerana kebanyakan lagu raya sering menampilkan suasana kampung yang sudah terlalu sinonim, sedangkan dia mahu memberikan sentuhan visual yang berbeza kepada penonton.
Ifa berkata, penggunaan CGI dan rekaan kostum untuk video muzik tersebut juga melibatkan kos besar yang ditanggung sepenuhnya oleh Sony Music, sekali gus membuktikan projek itu dihasilkan dengan perancangan yang rapi.
“Konsepnya beraya di kayangan, bukan di bumi. Sebab itu, visualnya penuh dengan elemen fantasi.
Kami mahu menghasilkan sesuatu yang segar dan berbeza daripada kebiasaan,” ujarnya.



