ARTIKEL

Yuni Ardi. | FOTO: GHAZALI BUJANG

IJTI Kalimantan Barat mahu perkukuh hubungan media dengan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Ikatan Jurnalis Televisi Indonesia (IJTI) Kalimantan Barat mengadakan kunjungan rasmi pertama ke Sarawak bagi memperkukuh hubungan profesional dan membuka ruang kerjasama dengan pengamal media di negeri ini.

Wakil media RCTI Kalimantan Barat, Yuni Ardi, 47, berkata kunjungan itu menjadi platform untuk merapatkan hubungan serta meneroka peluang pertukaran pengalaman antara wartawan televisyen dan pengamal media dari kedua-dua wilayah.

“Ini pertama kali kita berkunjung ke Sarawak sebagai kunjungan balas susulan lawatan media ke Indonesia baru-baru ini.

“Kunjungan ini merapatkan hubungan antara media Sarawak dan Kalimantan Barat dan saya berharap program seumpama ini dapat kita teruskan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai delegasi wartawan televisyen dan pengamal media Indonesia yang mengunjungi pejabat Suara Sarawak dan Sarawak Tribune di Metrocity, di sini, hari ini.

Rombongan itu disambut Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, Datuk Dr Jeniri Amir, bersama wakil kedua-dua organisasi media berkenaan.

Menurut Yuni, kunjungan itu susulan hubungan yang terjalin sejak tahun lalu apabila IJTI mengundang wartawan Sarawak menyertai acara peringkat Kalimantan.

Katanya, pengalaman itu mendorong pihaknya merancang kunjungan ke Sarawak tahun ini bagi meneruskan hubungan serta membuka lebih banyak ruang untuk bertukar pandangan.

“Kami mahu bersilaturahim dengan rakan media dan wartawan di Sarawak kerana kita masih berada di satu daratan dan mempunyai persamaan dari segi bahasa,” katanya.

Beliau berkata, IJTI ditubuhkan pada 1998 di peringkat Indonesia, manakala cawangan Kalimantan Barat ditubuhkan pada 2019.

Jelasnya, IJTI Kalimantan Barat mempunyai kira-kira 40 hingga 50 ahli yang terdiri daripada wartawan pelbagai stesen televisyen, termasuk RCTI, Kompas, CNN, TVOne, Trans TV, Trans7, Indosiar, Metro TV, SCTV, MNC, iNews dan TVRI, selain stesen televisyen tempatan.

Yuni berkata, walaupun beliau pernah berkunjung ke Sarawak secara peribadi, kunjungan kali ini merupakan lawatan rasmi pertama IJTI Kalimantan Barat ke negeri ini.

Beliau menyifatkan kunjungan berkenaan sebagai pengalaman yang menggembirakan kerana delegasi berpeluang mengunjungi beberapa organisasi media dan bertemu pengamal industri kewartawanan di Sarawak.

Mengulas harapan selepas lawatan itu, beliau berharap hubungan berkenaan dapat diteruskan menerusi program pertukaran pandangan dan pertemuan berkala antara pengamal media Sarawak dengan Kalimantan Barat.

Katanya, penganjuran program seumpama itu, misalnya setiap dua tahun, boleh menjadi wadah untuk kedua-dua pihak berkongsi pengalaman, membincangkan perkembangan industri media dan meneroka peluang kerjasama.

Beliau turut berharap tradisi berbalas pantun yang pernah menghubungkan wartawan kedua-dua wilayah dapat diteruskan pada masa hadapan, termasuk menerusi kunjungan ke Pontianak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Tokan dadah dicekup, bawa syabu 56.80 gram

KUCHING: Seorang tokan dadah berjaya ditangkap selepas cuba melarikan diri daripada polis menggunakan sebuah kereta ketika membawa 56.80 gram methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM6,248. Ketua